Segera banteras jenayah siber - Utusan Malaysia

Segera banteras jenayah siber

Polis menafikan mesej taktik penipuan baharu ‘Sim Swap’. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN mewujudkan satu jawatan kuasa jenayah siber bagi menangani masalah jenayah siber harus disegerakan memandangkan terlalu banyak kes sedemikian berlaku di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mendedahkan, terdapat peningkatan sebanyak 91.37 peratus kes jenayah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac hingga Jun lalu.

Malah terdapat 10,754 laporan polis dibuat pada 2018 dan terus meningkat sehingga 11,874 kes, tahun lalu. Sementara 9,146 kes lagi antara Januari hingga Julai lalu.

Penggunaan internet sebagai alat komunikasi dan wadah pencarian serta penyampaian maklumat kini disalahguna sebagai medium untuk melakukan aktiviti penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program, mencuri maklumat, penggodam dan lain-lain lagi.

Oleh kerana tiada pihak yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, maka pelbagai laman web boleh dihidupkan secara mudah tetapi tiada kepastian sama ada ia sahih atau tidak.

Lebih merisaukan apabila maklumat peribadi dicuri oleh penjenayah sekali gus meletakkan pengguna internet dalam bahaya.

Jadi tidak pelik apabila orang ramai menerima panggilan telefon yang kononnya daripada pelbagai pihak menyatakan ada berhutang, disaman dan sebagainya untuk menipu sekali gus melakukan aktiviti jenayah.

Sekiranya seseorang itu mudah tertipu, maka berlakunya kes kehilangan duit di dalam bank melalui sindiket scam.

Walaupun langkah pencegahan diambil oleh kerajaan, namun nampaknya penjenayah siber ini tidak takut terhadap undang-undang.

Mungkin undang-undang negara perlu diperkasa dan diperketatkan agar tiada lagi mangsa penipuan yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas. Bahkan sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas, dikhuatiri negara akan terus mengalami kerugian.

Bukan itu sahaja, keselamatan negara turut terancam memandangkan maklumat boleh diterima secara mudah tanpa sempadan serta hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi.

Ini sekali gus meletakkan ancaman kepada keamanan negara dan kepentingan ketenteraan turut boleh terjejas.

Oleh itu, cadangan untuk menubuhkan jawatan kuasa jenayah siber perlu dipandang serius dan disegerakan demi kesejahteraan rakyat serta keamanan negara.

ATIE SUHAIMI
Seremban, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya