
SINDIKET Macau Scam dan judi dalam talian adalah satu sindiket jenayah terancang yang mengaut keuntungan atas angin dengan meninggalkan ribuan mangsa sehelai sepinggang dan dalam situasi porak-peranda untuk menghadapi masa depan.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh polis, pada 2019 sahaja terdapat 28,508 kes scam dan 18,130 pembukaan akaun melibatkan jumlah wang RM2.5 bilion.
Selain itu, lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket mengunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan sejak 2019 hingga Oktober lalu.
Ekoran kekerapan rakyat yang terlalu mudah terpedaya oleh modus operandi tipu daya mereka, Macau Scam saban hari menjadi bahan berita dalam media massa.
Terkini, kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan salah satu cabang sindiket ini, termasuk penangkapan beberapa pegawai polis yang disyaki menjadi dalang.
Tangkapan ini dipercayai hanyalah ‘tip of the iceberg.’
SPRM juga sudah membekukan 730 akaun bank yang mempunyai nilai RM80 juta. Sebanyak 23 kenderaan mewah disita, wang tunai sebanyak RM5 juta dirampas dan 23 kenderaan mewah dalam siasatan.
Pada masa sama, SPRM menahan 20 suspek berhubung siasatan kes itu iaitu 11 orang awam, lapan kakitangan penguat kuasa dan seorang warga China. Aktiviti ini dikendalikan oleh komplot yang besar dan terancang.
Berikut antara modus operandi mastermind sindiket Macau Scam:
Pertama, satu kumpulan agensi pihak penguat kuasa yang tiada integriti mengesan dan membocorkan maklumat kepada ketua kumpulan sindiket berhubung operasi-operasi yang akan dijalankan.
GRO
Kedua, berpakat dengan pihak berkuasa untuk membuat serbuan dan tangkapan ke atas kumpulan-kumpulan sindiket. Mastermind akan mengatur pertemuan dengan sindiket yang telah diserbu pihak berkuasa dan meminta wang perlindungan untuk melepaskan pekerja-pekerja yang ditahan.
Ketiga, menetapkan bayaran bulanan daripada sindiket Macau Scam sebagai yuran perlindungan dan jaminan bebas daripada tindakan undang-undang.
Keempat, menyediakan pusat operasi sindiket yang kebiasaannya rumah banglo dan kondominium elit. Pusat operasi akan berpindah-randah bagi mengelak masyarakat setempat membuat aduan.
Kelima, salah seorang mastermind yang terlibat ialah pemilik pusat penjualan komputer dan teknologi komunikasi maklumat (ICT) terkemuka di Kuala Lumpur. Dia akan menyediakan semua bentuk logistik dari segi perkakasan dan perisian komputer untuk kegunaan sindiket-sindiket terbabit. Oleh itu, cukup mudah bagi sindiket mendapatkan perkakasan dan perisian ICT bagi menjalankan aktiviti mereka.
Keenam, membeli pusat hiburan (karaoke). Semua sindiket di bawah naungan kumpulan mastermind ini dikehendaki membayar RM1 juta sebagai saham pembelian pusat karaoke. Tiap-tiap malam, setiap sindiket naungan perlu membuka dua bilik karaoke berserta pelayan pelanggan (GRO) dan dadah. Difahamkan, sindiket terpaksa membayar puluhan ribu ringgit untuk kos pembukaan bilik karaoke dan hiburan ini.
Oleh sebab itu, karaoke (kelab) ini tidak pernah kosong dan sentiasa penuh. Tempat ini juga dijadikan pusat menghiburkan pegawai penguat kuasa dengan wanita dan dadah.
Ketujuh, melaburkan wang-wang haram hasil daripada kutipan perlindungan bulanan, sewa rumah, pusat operasi, peralatan logistik dan aktiviti peras ugut dalam syarikat-syarikat yang sengaja diwujudkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ini termasuk melabur dalam syarikat milik artis dan selebriti tanah air. Difahamkan terdapat lebih 700 syarikat digunakan oleh mastermind untuk ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram termasuk restoran, pembinaan, ICT, karaoke, kelab malam, pinjaman wang sah dan tidak sah (ah long) serta penjualan kenderaan import.
KERJASAMA
Sudah sampai masanya agensi penguat kuasa mengatasi masalah Macau Scam secara holistik. Ketua sindiket yang pasti ada dalam senarai maklumat risikan polis mesti ditangkap dan ditumpaskan.
Manakala, jika masih ada pegawai termasuk pegawai kanan agensi penguat kuasa yang bersekongkol, melindungi, mengambil rasuah daripada sindiket Macau Scam dan judi dalam talian hendaklah disiasat dan diambil tindakan tanpa memilih bulu.
Kajian yang dibuat oleh Association of Certified Fraud Examiners, sindiket fraud termasuk Macau Scam terjadi disebabkan oleh factor collusion iaitu kerjasama antara sindiket dan orang dalam.
Kita masih ada pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi dan bersikap tegas. Tunjuk contoh yang baik dalam menangani isu rasuah. Kadangkala, dengan pengalaman berpuluh tahun dalam profesion pekerjaan tidak membawa makna jika mereka tidak mempunyai integriti.
Sebagai ketua, mesti bersifat telus selain memenuhi tiga kriteria tertentu. Kriteria pertama, merit seseorang mana boleh dinilai menerusi pengalaman dan profesionalisme dalam melakukan tugas. Kriteria kedua, integriti iaitu pemimpin dilantik tahu dan tidak melakukan kesalahan demi kepentingan individu.
Kriteria ketiga, memilih pemimpin yang berani kerana benar. Ini bermaksud, apa juga tindakan yang dilakukan adalah berani meskipun diarah atau diwahyukan melakukan sesuatu yang tidak baik dan melanggar undang-undang.
Pihak berkuasa hendaklah menyiasat sehingga ke lubang cacing mereka yang terlibat dan mendalangi sindiket Macau Scam dan judi dalam talian.
Bagaimanapun, mengatasi masalah Macau Scam bukan hanya terletak pada agensi penguat kuasa. Kerjasama orang ramai agar mematuhi nasihat pihak berwajib supaya tidak terjebak dalam aktiviti haram ini.
Mereka juga hendaklah melaporkan kepada polis sekiranya berdepan dengan masalah Macau Scam. Begitu juga tanggungjawab hakim untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap penjenayah Macau Scam serta judi haram supaya ia menjadi pengajaran. Isu Macau Scam bukan sahaja boleh meruntuhkan masyarakat, bahkan juga imej negara.
DATUK Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia.










