Kurang penyanyi nasyid wanita - Utusan Malaysia

Kurang penyanyi nasyid wanita

NASYID mengenai rukun iman bertajuk Amantu billahi wa malaikatihi oleh Khadija Kholibri (dua dari kiri) telah ditonton sebanyak 3.2 juta kali dalam YouTube.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik membaca artikel tulisan Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan dalam Utusan Malaysia pada 24 Oktober lalu mengenai tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menolak memberikan bantuan kewangan kepada pelajar perfileman dengan alasan filem menjurus kepada hiburan dan melalaikan.

Bukan sahaja filem, malah tafsiran agama yang bersifat ‘keras’ itu turut melibatkan pandangan mengharamkan nasyid yang disampaikan oleh wanita.

Antara alasan yang selalu diberikan, suara dan kecantikan wanita akan menggugat iman lelaki. Sama seperti filem, lagu yang dinyanyikan wanita dijadikan mangsa. Sepatutnya berikan tumpuan untuk menguatkan iman para lelaki supaya tidak tergugat walaupun apa sahaja godaan yang datang.

Oleh kerana fahaman ‘keras’ ini, sehingga kini tidak ramai wanita Malaysia yang memilih menjadi penyanyi nasyid bagi tujuan berdakwah dan menanam kesedaran Islam terutama secara solo walaupun ironinya wanita yang menyanyi untuk berhibur semata-mata bebas berbuat demikian tanpa sekatan.

Situasi sedemikian nampaknya tidak berlaku di Eropah Timur apabila wanita Islam bebas untuk bernasyid dan telah menarik ramai bukan Islam mengenali agama itu.

Wanita berkenaan berkali-kali ganda lebih cantik daripada perempuan Malaysia tetapi tiada sekatan pula untuk mereka bernasyid. Tidak timbul pula isu lelaki Islam di sana semakin banyak melakukan maksiat kerana tidak tahan dengan godaan perempuan.

Nama-nama seperti Safiyat Ibrahimova dan Khadija Kholibri dari Chechnya adalah antara penyanyi nasyid wanita yang berjaya memberi imej positif kepada Islam.

Nasyid sekarang mempunyai imej sangat buruk yang digelar dengan istilah nasyidofobia kerana sering dikaitkan dengan keganasan disebabkan selalu dijadikan muzik latar dalam video propaganda Daesh.

Jiran kita, Indonesia, lebih terbuka dalam soal ini apabila muncul ramai penyanyi nasyid wanita seperti Nissa Sabyan.

Malang bagi penyanyi nasyid wanita terbabit kerana media sosial milik mereka turut menjadi mangsa troll pengikut ustaz-ustaz berfahaman ‘keras’ terbabit.

Kenapakah kita bersikap dwistandard dengan menyekat wanita bernasyid untuk memuji Tuhan tetapi pada masa sama memberi ruang seluas-luasnya kepada penyanyi wanita Islam mendendangkan lagu yang melalaikan dengan penampilan seksi?

Kekurangan lagu-lagu baharu yang berunsur ketuhanan menyebabkan orang ramai tiada pilihan kecuali terus mendengar halwa telinga yang melalaikan bagi meredakan tekanan ketika pandemik Covid-19 ini.

USTAZ REFORMASI
Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya