fbpx

21 Januari 2021, 3:35 am

  TERKINI

Perlu pangkat baharu PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KALAU tidak silap saya, terdapat hanya enam pangkat bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kategori lain-lain pangkat (LLP) iaitu konstabel, lans koperal, koperal, sarjan, sarjan mejar dan sub inspektor.

Ertinya, seseorang yang menyertai PDRM dalam kategori LLP sebagai konstabel memerlukan tempoh lama kira-kira 40 tahun untuk bergerak dari satu pangkat ke pangkat lebih atas sebelum bersara pada pangkat sarjan mejar dan sub inspektor.

Malahan, majoriti anggota PDRM tidak akan dapat menyandang dua pangkat tertinggi LLP itu sepanjang perkhidmatan mereka kerana bilangan kekosongan jawatan yang terhad.

Ramai anggota polis berpangkat sarjan dan sarjan mejar dilihat menunggu sangat lama menyandang sesuatu pangkat, misalnya 10 tahun pada pangkat sarjan dan 15 tahun pangkat sarjan mejar. Terpaksalah mereka berpuas hati bersara dengan pangkat itu, bukan kerana prestasi kerja tidak baik tetapi kerana tiada peluang.

Ini mungkin boleh menyebabkan ramai anggota LLP berasa kurang motivasi kerana berasa sebaik mana sekalipun menjalankan kerja, mereka tidak akan dapat naik pangkat.

Oleh itu, dicadangkan pihak yang berkenaan menimbangkan diwujudkan pangkat baharu bagi anggota LLP. Contohnya, menambah dua atau tiga pangkat tambahan seperti sarjan mejar kanan dan sub inspektor kanan.

Dengan adanya jawatan baharu itu, anggota LLP dalam PDRM akan lebih bermotivasi untuk memberikan prestasi kerja terbaik kerana mempunyai lebih peluang untuk naik pangkat.

RAHMANPIN
Shah Alam, Selangor

POPULAR