Parti tanpa had usia - Utusan Malaysia

Parti tanpa had usia

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGHARGAAN perlu diberikan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas usahanya mahu menubuhkan sebuah parti politik baharu yang memberi tumpuan kepada golongan belia daripada pelbagai kaum.

Namun, Malaysia juga perlukan sebuah parti politik baharu meliputi semua kaum tanpa mengira had usia. Parti baharu itu perlu benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh parti sedia ada.

Usaha untuk menubuhkan parti politik baharu sentiasa dibangkitkan oleh banyak pihak hampir setiap tahun sejak merdeka bertujuan menandingi parti-parti politik sedia ada. Usaha ini selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan berpolitik sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu kebebasan setiap warganegara untuk bercakap, berhimpun serta berpersatuan.

Sememangnya tidak menjadi kesalahan sekiranya sesebuah parti politik baharu ingin ditubuhkan berasaskan belia atau sesuatu kaum atau pelbagai kaum. Namun, adakah ini yang benar-benar diinginkan oleh rakyat ketika ini? Rata-rata rakyat sudah bosan dengan segala drama politik yang berlaku pada ketika ini dalam kalangan parti-parti politik sedia ada.

Rakyat sebenarnya mahukan sebuah parti politik yang benar-benar boleh memberi harapan baharu, boleh menumpukan sepenuhnya segala resahan dan rungutan mereka.

Sekiranya sesebuah parti politik baharu ditubuhkan hanya berasaskan golongan usia tertentu, adakah suara keseluruhan rakyat dapat didengari kelak? Sudah pasti parti politik yang berasaskan belia akan hanya melibatkan golongan belia.

Walaupun dikatakan dibuka kepada semua lapisan usia, namun mustahil mereka boleh mewakili suara dan hati masyarakat keseluruhannya tanpa mengira had usia. Oleh yang demikian, adalah penting satu parti politik baharu dapat ditubuhkan untuk semua tanpa mengira kaum atau agama dan dibuka sepenuhnya kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira had umur.

Langkah ini penting supaya tiada seorang pun rakyat terpinggir dan sama-sama boleh menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Pensyarah Kanan USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya