ANGKA 57 dan 63 cukup istimewa buat kita pada tahun ini. Negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957 dan tahun ini menyambut ulang tahun ke-63. Malaysia pula dibentuk pada 1963 dan tahun ini meraikan ulang tahun yang ke-57.
Merentasi angka-angka luar biasa ini ialah patriotisme, semangat cinta tulen kepada negara, berasaskan daya tarikan yang ada pada Malaysia.
Mereka yang berkunjung ke negara luar pasti pernah mengalami rasa rindu untuk kembali ke tanah air yang tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Rasa cintakan pertiwi diibaratkan dalam peribahasa, hujan emas perak di negeri orang, hujan keris lembing di negeri kita, baik juga di negeri kita.
Bahkan sentimen cinta kepada tanah air adalah universal, yang dalam pepatah Inggeris diungkapkan, East, west, home’s the best. Dari timur membawa ke barat, pertiwi tetap yang terhebat.
Bukti rasa cinta kepada tanah air ialah kesediaan dan kesanggupan untuk berkorban.
Pelbagai cabaran akan mendatangi nusa dan bangsa dalam hidup seharian. Seorang patriot tidak akan lari walau apa pun tentangan yang mengganggu. Patriot tulen sentiasa berani dan sedia berkorban masa dan tenaga demi kejayaan dan kemakmuran pertiwi.
Malahan, dalam keadaan yang luar biasa dan istimewa, patriot rela mati mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Antara kehormatan terbesar yang mampu dicapai tetapi jarang berlaku seperti pandemik Covid-19, adalah berkorban jiwa dan nyawa dalam menghadapi bahaya di barisan hadapan demi melindungi umat dan watan.
Bagaimanakah cara terbaik untuk membentuk perasaan cintakan tanah air hingga sedia berkorban? Pertama, kita harus memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Maha Pencipta kerana Malaysia sebuah negara bertuah. Aset kita paling utama ialah warganegara yang mementingkan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk menongkah ke hadapan.
UNIK
Saiz geografi Malaysia amatlah sederhana tetapi komposisi kaumnya unik dan istimewa. Rakyatnya mencerminkan bangsa-bangsa besar dunia seperti Melayu, Cina, India, anak-anak Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Agama-agama teragung di dunia hidup bertumpu di Malaysia, Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tzu.
Kedua, bahasa kebangsaan yang dihayati sebagai bahasa perpaduan juga mampu memupuk patriotisme. Berperanan menjadi saluran perhubungan yang sihat antara satu jiwa dengan jiwa lain. Bahasa kebangsaan berupaya menggerakkan perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat seluruhnya. Sebahagian daripada keperibadian dan patriotisme kita bergantung kepada pendaulatan dan kecintaan kepada bahasa kebangsaan.
Ketiga, pemangkin patriotisme berupa perkongsian nasib dalam sejarah kehidupan. Iaitu berkongsi ingatan dan kenang-kenangan yang sama, bersama rasa bangga bila negara berjaya dan ikut rasa malu bila gagal.
Ikut serta dalam sentimen suka dan duka adalah mencabar untuk dilaksanakan dalam latarbelakang berbeza taraf sosioekonomi, aneka ragam ideologi politik, kepelbagaian bahasa dan warna-warni budaya.
Justeru, pentingnya faktor keempat iaitu sistem pendidikan yang memupuk semangat kebersamaan. Untuk berkongsi pengalaman dan harapan dalam sejarah kehidupan, warganegara perlulah sama-sama dibesarkan berasaskan budaya dan ajaran tempatan.
Dengan itu, mereka akan menyerap perasaan hormat kepada nilai berasaskan sopan dan santun.
CAUVINISME
Rukun Negara amat menekankan kesopanan dan kesusilaan sebagai nilai paling penting dalam konteks hubungan antara warganegara dari pelbagai latar belakang.
Sebaliknya, sifat angkuh dan menyinggung perasaan orang lain adalah dikutuk sama ada kesombongan atas dasar harta, keangkuhan kuasa politik, mahupun cauvinisme bahasa dan budaya.
Berlawanan dengan patriotisme, keangkuhan hanya melahirkan perasaan renggang dan terasing dari negara sendiri.
Pendidikan keluarga perlulah melalui contoh dan teladan ibu bapa yang sentiasa mengingatkan anak-anak akan kepentingan tanah watan. Pemimpin masyarakat dan kerajaan juga harus cekap dan mampu menyentuh perasaan rakyatnya. Rakyat yang dipenuhi keperluannya akan menghargai jasa pertiwi yang tidak ternilai.
Dengan pendidikan patriotis yang sewajarnya, pasti generasi hadapan akan menghargai antara satu sama lain, seterusnya menolak sebarang ancaman yang boleh mengeruhkan suasana.
SETIA KAWAN
Nilai-nilai penting masyarakat seperti keamanan, kedamaian dan ketenteraman adalah antara anugerah tertinggi daripada Tuhan. Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas kasihan, kemesraan dan setia kawan. Ia menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, beramah tamah dan sukacita apabila orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran.
Rasulullah SAW menganjurkan berbelas kasihan dan sopan santun dalam hubungan. Baginda SAW bersabda: Kasihilah buat manusia yang lain apa yang anda kasihi buat diri sendiri.
Dalam kesempatan lain, Rasulullah SAW menasihatkan: Sesiapa yang tidak sayang kepada manusia, tidak disayangi oleh Allah, dan hati itu cinta kepada mereka yang baik kepadanya dan benci kepada mereka yang menyakitinya.
Islam agama sejagat yang mengiktiraf kepelbagaian umat manusia sebagai satu tanda kebesaran Allah SWT mencipta penghuni alam ini dalam pelbagai rupa dan bahasa.
Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda- Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa kalian dan berlainan pula warna kulit kalian, sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (yang menunjukkan kebijaksanaan Allah SWT) bagi orang-orang yang berilmu. (surah al-Rum, ayat 22).
DR. Mohd. Sani Badron ialah Felo Utama dan Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, InstitutKefahaman Islam Malaysia (IKIM).










