Cakap Melayu pun masih pelat... - Utusan Malaysia

Cakap Melayu pun masih pelat…

Ada segelintir warganegara tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik ketika berurusan di sektor kerajaan hingga terpaksa meminta bantuan orang lain. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Shamsatun Nahar Ahmad

Bahasa mencerminkan bangsa. Apakah bahasa bangsa Malaysia? Bangsa Malaysia yang terbesar terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, iaitu bahasa kebangsaan. Akta Pendidikan 1963 dan 1967 juga mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini bermaksud, bahasa Melayu bukan bahasa bangsa Melayu tetapi adalah bahasa bangsa Malaysia. Persoalannya, adakah semua warganegara fasih berbahasa Melayu? Kajian Nora’azian Nahar dan Fadzilah Abd. Rahman dari Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia ke atas 414 murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) di daerah Kuantan mendapati sebanyak 55.7 peratus masih tidak fasih berbahasa Melayu. Jika di SJK tahap kemahiran bertutur bahasa Melayu adalah kurang daripada 50 peratus, apakah mungkin peratus ini meningkat di universiti dan sektor pekerjaan?

Dalam Akta Pendidikan 1996, fasa ke-28 menyatakan, Menteri Pendidikan mempunyai bidang kuasa untuk mewujudkan sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular. Masalah pada sekolah vernakular pula, diadakan fasa ke-17 iaitu Menteri Pendidikan diberi kuasa untuk mengecualikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan di sekolah vernakular. Oleh kerana sekolah vernakular didedahkan dengan bahasa ibunda masing-masing, maka martabat bahasa kebangsaan mustahil akan berlaku. Dengan bilangan sekolah vernakular sedia ada sudah menjadi parah dalam konteks penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan warganegara, apatah lagi jika penambahan 16 buah sekolah baharu vernakular.

Tidak pernah wujud sekolah vernakular di Indonesia, Jepun, Korea, Cina dan Eropah kerana negara-negara tersebut mengamalkan prinsip asimilasi. Namun Malaysia mengamalkan integrasi iaitu kekuatan setiap kaum dipertahankan termasuk bahasa. Disebabkan konsep integrasi inilah maka sekolah vernakular wujud di Malaysia. Inilah punca kenapa bangsa Malaysia masih tidak fasih atau tidak boleh berbahasa Melayu. Ditambah pula kekuatan pengamal bahasa Melayu dalam kalangan bumiputera cuma 60 peratus. Membenarkan fasa ke-17 dalam Akta Pendidikan 1996 membuktikan kerajaan sendiri tidak tegas memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mengambil contoh Indonesia, semua rakyatnya fasih berbahasa Indonesia walaupun mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Mengapa hal seperti ini tidak terjadi di Malaysia yang juga mempunyai berbilang kaum? Bertambah pelik apabila bangsa Cina yang berada di mana-mana negara seluruh dunia boleh fasih berbahasa kebangsaan negara yang mereka duduki. Kenapa mereka tidak boleh berbahasa Melayu di Malaysia sedangkan ia adalah bahasa kebangsaan? Sangat memalukan apabila tertera perkataan Malaysia pada ruang warganegara di atas kad pengenalan mereka. Bagaimana mereka boleh mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi menolak bahasa kebangsaan?

TIDAK FASIH

Walaupun bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa rasmi, namun masalah fasa ke-17 inilah menjadi penyumbang masih ramai lagi rakyat Malaysia tidak fasih bahasa Melayu. Fasa ke-17 perlu dihapuskan jika Malaysia serius untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sering dipandang rendah atau boleh diertikan sebagai ditolak kerana beranggapan bahasa itu hanya digunakan di Malaysia, bukan bahasa global, tiada nilai ekonomi dan tiada nilai profesional. Kaum Cina lebih selesa memilih Mandarin, Hokkien dan Kantonis dalam semua urusan. Hal ini diburukkan lagi apabila segelintir warganegara yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik ketika berurusan di sektor kerajaan seperti hospital, polis, kastam dan imigresen sehingga terpaksa meminta bantuan orang lain. Malah, golongan ini tetap mengaku mereka rakyat Malaysia.

Bahasa Inggeris menjadi keutamaan kerana globalisasi dan kolaborasi di peringkat antarabangsa. Tetapi janganlah kita meletakkan bahasa Melayu di peringkat jauh lebih rendah daripada bahasa-bahasa lain.

Kerajaan perlu ada ketegasan politik untuk memastikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa yang diangkat kedudukan pada tahap tertinggi. Kenapa Jepun, Korea dan Cina boleh terus maju ke hadapan dengan menggunakan bahasa mereka? Walaupun rakyat mereka tahu bahasa Inggeris tetapi mereka tidak akan menggunakannya kerana sifat nasionalisme yang tinggi.
Selain itu, kaunter pendaftaran di pejabat-pejabat kerajaan juga boleh dengan mengadakan sesi ujian lisan bahasa Melayu kepada mereka yang hendak memperbaharui kad pengenalan pada usia 13 tahun dan permohonan baharu warganegara. Jika gagal ujian lisan, diberikan tempoh untuk mereka belajar bertutur bahasa Melayu. Jika ini dapat dilakukan secara berintegriti, peratus rakyat tidak fasih bahasa Melayu dapat dikurangkan.

Semua warganegara harus mampu untuk menguasai sepenuhnya bahasa Melayu, baharulah perpaduan boleh tercapai. Ini tidak bermakna bangsa Malaysia tidak boleh menguasai bahasa lain. Tidak salah untuk mempertahankan nilai etnik sesuatu bangsa dengan mempertahankan bahasa ibunda tetapi jangan sampai mengorbankan bahasa kebangsaan.

STATUS

Kebanyakan warganegara tidak kira bangsa lebih cenderung memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan ketika berurusan. Bahasa Melayu dilihat seolah-olah bahasa yang diketahui dan bukan dikuasai. Segelintir orang Melayu juga tidak mahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu kerana menjaga status, maka mereka memilih bahasa Inggeris untuk semua urusan. Kegagalan meletakkan kedudukan tinggi bahasa kebangsaan telah wujud tetapi mungkin tidak disedari kerana kita berada dalam era globalisasi dan teknologi, maka bahasa Inggeris perlu diangkat.
Kesimpulannya, untuk memastikan semua bangsa Malaysia fasih bahasa Melayu iaitu menguasai bahasa kebangsaan, perlu ada penguatkuasaan daripada kerajaan. Kerajaan perlu bijak dalam menangani masalah sekolah vernakular, iaitu fasa ke-17 dalam Akta Pendidikan 1996 patut dihapuskan. Seterusnya sifat nasionalisma jati diri dalam kalangan bangsa Malaysia hendaklah diterapkan supaya kemerdekaan negara yang dicapai lebih setengah abad ini lebih bererti.

Sebagai warganegara, kita patut mengangkat bahasa kebangsaan ke tahap tertinggi. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi bangsa Malaysia, bukan bahasa untuk orang Melayu.

 

Dr. Shamsatun Nahar Ahmad ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya