Undang-undang sekat Covid-19 - Utusan Malaysia

Undang-undang sekat Covid-19

covid
PELAN laluan untuk panduan orang ramai diletakkan di ruang legar dalam tinjauan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan pandemik COVID-19 di Sentral Kuala Lumpur. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI Pemberita; Zareen Humairah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA kini dilanda pandemik Covid-19 dan Malaysia tidak terkecuali daripada diserang virus yang membawa maut itu.

Negara ini mula mengambil pendekatan membendung wabak dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Selepas itu, dilaksanakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu perlonggaran syarat-syarat PKP tertentu untuk membuka semula ekonomi Malaysia secara terkawal.

Sekarang ini pula kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Pandemik ini telah mengakibatkan kematian penduduk dunia seramai 670,401 (data sehingga 31 Julai). Di Malaysia , sehingga kini 125 orang terkorban akibat wabak.

Dalam memerangi wabak ini selain bidang perubatan, kerajaan terpaksa menggunakan undang-undang demi mencegah dan mengawal penyakit ini daripada merebak ke seluruh negara.

Negara ini mempunyai akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 1988 (Akta 342) dalam memerangi wabak ini. Akta ini memberikan kuasa kepada menteri membuat perintah- perintah bersesuaian dari semasa ke semasa demi mengawal merebaknya penyakit ini.

Korona Virus 2019 juga telah dimasukkan sebagai penyakit di bawah Pindaan Jadual Pertama Akta 342 pada 9 Jun 2020 P.U. (A)179.

Perintah-perintah ini akan diwartakan dan mempunyai kesan undang-undang yang mana memberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggarnya.

Antara warta terkini adalah Warta P.U ( A) (180) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan)( Perlanjutan Kuat Kuasa)(No. 5 ) 2020 berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Antara kandungannya, larangan berarak dan kawalan berhimpun, kawalan di dalam pengangkutan awam dan dikehendaki menjalani pemeriksaan bagi mereka yang tiba di Malaysia.

Ini termasuk memakai gelang getah bagi yang baru balik dari luar negara yang disyaratkan untuk mereka oleh pihak pegawai yang diberi kuasa serta memberi maklumat dalam menjalankan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit dan apa-apa perintah yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan dari semasa ke semasa.

Bermula semalam pula, orang ramai dikehendaki memakai pelitup muka di tempat awam serta pengangkutan awam.

Sekiranya ingkar atas perintah-perintah ini maka ada peruntukan yang diwartakan juga di bawah perintah ini iaitu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Perlu juga diingatkan bahawa perintah ini turut merangkumi hukuman terhadap firma syarikat perkongsian pertubuhan atau kumpulan.

Apa yang berlaku pada masa ini, orang ramai mengambil remeh dalam mendisiplinkan diri mereka. Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP tidak dipatuhi.

Ini menyukarkan kerajaan melawan dan mengawal merebaknya Covid-19 ini, maka penguatkuasaan undang-undang yang lebih agresif perlu diambil demi menjaga kepentingan awam.

Sekiranya masyarakat masih enggan dan menganggap hukuman-hukuman di bawah perintah menteri adalah satu hukuman ringan, perlu diingatkan di bawah Kanun Keseksaan juga mempunyai beberapa peruntukan dalam mengawal keadaan dalam isu-isu kesihatan awam .

Peruntukan di bawah Kanun Keseksaan adalah seperti berikut: –

Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi enam bulan penjara dan denda (tiada had) atau kedua-duanya sekali bagi mereka yang disabitkan kesalahan kerana berlaku cuai menyebabkan merebaknya penyakit yang mengancam nyawa.

Seksyen 270 Kanun Keseksaan memperuntukkan bagi perbuatan yang di dalam pengetahuannya memburukkan keadaan yang menyebabkan tersebarnya penyakit yang membahayakan nyawa dan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 271 Kanun Keseksaan memperuntukkan juga bagi kapal yang tidak mematuhi aturan kuarantin ketika pendamik Covid-19 yang membolehkan dijatuhkan hukuman tidak kurang dari enam bulan penjara atau denda atau kedua duanya sekali.

Juga di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan dan hukuman bagi mereka yang memberi maklumat palsu kepada pihak yang berkuasa. Hukuman bagi kesalahan ini adalah penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali

Bermula 15 April lalu, tiada lagi kompaun dikenakan terhadap mereka yang melanggar perintah- perintah yang diwartakan dan akan dihadapkan ke mahkamah. Ini demi mengawal dan mencegah kenaikan indeks pesakit Covid-19 yang mendadak.

Oleh itu, peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Keseksaan boleh digunakan yang mana lebih tinggi hukumannya sekiranya masyarakat masih enggan mematuhi peruntukan-peruntukan di bawah perintah-perintah Akta 342.

Menurut kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 30 April lalu, bagi pesalah-pesalah di bawah Kanun Keseksaan akan mempunyai rekod jenayah bukan seperti pelepasan dari rekod jenayah yang diberikan kerajaan bagi pesalah di bawah Akta 342.

PENULIS ialah Pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya