Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang lancar Program Sukuk RM5 bilion

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang lancar Program Sukuk RM5 bilion

CHOW Kon Yeow (tiga, kanan) dan Pathmanathan (tiga, kiri) pada majlis menandatangani Program Sukuk Wakalah PBAPP di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) buat julung kalinya melancarkan Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) (Program Sukuk) bernilai RM5 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelancaran itu serentak dengan Rangka Kerja Pembiayaan Mampan (Kerangka Kewangan Mampan), menjadikan PBAPP sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri pertama mewujudkan kedua-dua program berkenaan.

Program IMTN distrukturkan di bawah model Sukuk Wakalah patuh Syariah yang membolehkan PBAPP meningkatkan pembiayaan jangka sederhana hingga panjang secara mampan dan berskala melalui pasaran modal Malaysia.

UOB Malaysia dan Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah dilantik sebagai Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama untuk Program Sukuk.

Maybank IB juga bertindak sebagai Penasihat Penstrukturan Kemampanan Tunggal untuk
Rangka Kerja Pembiayaan Mampan (Kerangka Kewangan Mampan) PBAPP.

Majlis menandatangani perjanjian disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Pada Majlis itu, Maybank IB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global Banking Maybank, Datuk John Chong, manakala UOB Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, program sukuk itu telah diberikan penarafan kredit AAA/Stable oleh RAM Rating Services Berhad (RAM), iaitu penarafan kredit tertinggi di peringkat domestik mencerminkan asas kredit kukuh PBAPP.

“Hasil daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan bagi menyokong Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) PBAPP dengan anggaran pelaburan berjumlah RM2.099 bilion.

“Ia juga menyokong perbelanjaan modal (capex), perbelanjaan operasi (opex) dan keperluan pembiayaan semula serta menyokong inisiatif hijau dan sosial lain yang layak di bawah Kerangka Kewangan Mampan.

“Pelancaran ini juga merupakan langkah transformasi dalam cara kita membiayai infrastruktur bekalan air,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran suku itu di sini, hari ini.

Menurut Pathmanathan, dengan memanfaatkan pasaran modal melalui platform mampan, PBAPP sedang mempelbagaikan asas dana, mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan geran kerajaan serta mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap daya tahan kewangan dan alam sekitar.

“Ia turut membuka ruang pelaburan baharu kepada pelabur yang mencari pulangan stabil dengan impak positif kepada alam sekitar dan sosial. Walaupun had Program Sukuk adalah pada RM5 bilion, PBAPP akan menerbitkan sukuk secara berperingkat selaras dengan keperluan projek sebenar,” katanya.

Tambah beliau, program sukuk itu bertindak sebagai dana strategik PBAPP, menawarkan platform pembiayaan yang fleksibel dan berskala untuk menyokong pelan pembangunan infrastruktur jangka panjang.

“Terbitan awal pada tahun 2025 adalah jauh di bawah had program dan akan disesuaikan dengan keperluan pelaburan jangka pendek. Dalam hal ini, PBAPP merakamkan penghargaan kepada Maybank dan UOB atas kerjasama dalam segala usaha ini, serta kepada RAM atas penarafan kredit tertinggi dan penarafan emas kewangan mampan yang telah diberikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN