Muncul parti baharu tanda PRU makin dekat - Utusan Malaysia

Muncul parti baharu tanda PRU makin dekat

Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan penubuhan parti baharunya Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU saja iaitu pada 3 Ogos lalu Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa kewujudan terlalu banyak parti politik akan menyebabkan negara tidak stabil.

Tetapi, empat hari selepas itu, iaitu pada Jumaat, bekas perdana menteri itu membuat pengumuman menubuhkan sebuah parti baharu dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presidennya dan beliau sendiri pengerusi.

Walaupun belum ada nama diberikan kepada parti yang akan ditubuhkan itu, tetapi ramai yang melihat itu sebagai tanda-tanda Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) makin dekat.

Sebelum ini pun ketika Dr. Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ia adalah persediaan untuk memasuki PRU14 dengan matlamat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apa pun, itulah yang dinamakan demokrasi. Sesiapa sahaja yang mempunyai pengikut boleh tubuhkan apa juga parti.

Sama ada ia akan menggugat kestabilan negara atau tidak, itu bergantung kepada agenda pemimpinnya dan apa pendekatan yang mereka bawa.
Jika agendanya untuk menumbangkan kerajaan sudah pasti kestabilan akan terjejas.

Tetapi jika agendanya untuk rakyat kena buktikan bahawa ia betul-betul untuk rakyat. Bukannya untuk memperjuangkan kepentingan kelompok tertentu sahaja.

Tubuh parti, tutup parti dan tukar nama parti juga bukan perkara baharu. Ia adalah sebahagian daripada asam garam dalam politik Malaysia.
Lagi pula dalam sejarah Malaysia, tidak ada satu parti pun yang boleh membentuk kerajaan secara solo. Mesti ada gabungan beberapa parti, baru boleh bentuk kerajaan.

Senario yang sama berlaku pada PRU14 apabila Dr. Mahathir tubuhkan Bersatu, lalu bergabung dengan PKR , DAP dan PAN hingga membolehkan mereka menumbangkan BN dan membentuk kerajaan.

Tetapi apabila Bersatu keluar daripada pakatan itu, maka kerajaan PH pun tumbang. Benarlah kenyataan Dr. Mahathir itu apabila ada banyak parti ia boleh membawa kepada ketidakstabilan.

Tetapi ketidakstabilan dan krisis juga lah yang membawa kepada kemunculan parti-parti politik baharu. Tertubuhnya parti baharu yang namanya belum diberikan oleh Dr. Mahathir dan Mukhriz bakal menjadi presidennya itu juga tercetus daripada krisis.

Parti-parti ini pula bukannya muncul akibat krisis di peringkat bawahan seperti di cawangan. Ia muncul apabila berlaku perbalahan dalam kalangan elit-elit politik yang mana sebahagian daripada kemunculan parti baharu itu lebih kepada untuk mencapai kepentingan elit politik tersebut.

Pergelutan kuasa dalam kalangan pemimpin UMNO misalnya boleh dikatakan sebagai penyumbang terbesar kepada kemunculan parti-parti baharu ini.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1946, pelbagai krisis telah berlaku dalam parti Melayu terbesar itu yang membabitkan penentangan terhadap pucuk pimpinan, perpecahan dalaman yang akhirnya membawa kepada pemecatan pemimpin.

Datuk Onn Jaafar misalnya, walaupun beliau merupakan pengasas UMNO, namun kerana persaingan dengan Tunku Abdul Rahman membawa kepada krisis awal dalam parti itu dan seterusnya membawa kepada penubuhan parti baharu.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO (jawatan presiden ketika ini) Onn membawa pengikut-pengikut setianya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Kemunculan Pas juga dianggap sebagai serpihan daripada UMNO kerana Parti Islam Semalaysia itu pada mulanya adalah Biro Agama UMNO.

Pada tahun 1987 berlaku satu lagi krisis kepimpinan dalam UMNO apabila Tun Musa Hitam bersama Tengku Razaleigh Hamzah bergabung menentang kepimpinan Dr. Mahathir. Tengku Razaleigh kalah dalam pertembungan itu yang turut membawa kepada pengharaman UMNO. Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 sementara Dr. Mahathir menghidupkan semula UMNO

Ketiadaan Tengku Razaleigh dan Musa dalam UMNO diganti dengan kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya disebut-sebut sebagai bakal perdana menteri.

Tetapi panas tidak sampai ke petang apabila pada September 1998 ketika kerjaya politiknya hampir sampai ke puncak, Anwar di pecat daripada UMNO yang menyaksikan kelahiran Parti Keadilan Rakyat.

Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Warisan di Sabah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu juga berpunca daripada perpecahan dan rasa tidak puas hati.

Ia ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Sementara Dr. Mahathir sendiri bertindak keluar dari UMNO dan bergabung dengan Muhyiddin dalam Bersatu.

Setiap kali berlaku krisis dalam elit politik negara ia pasti akan membawa kepada penubuhan parti baru.

Pas juga tidak terlepas daripada senario ini apabila Datuk Asri Muda pernah keluar daripada parti itu menubuhkan Hamim dan Mohamad Sabu yang tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan Pas bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Nasional (PAN).

Setiap kali parti-parti baharu ini muncul matlamatnya hanya satu – untuk bertanding dalam pilihan raya – apabila menang akan bergabung dengan parti lain yang lebih besar bagi membentuk kerajaan. Jika bernasib baik, ketuanya akan mendapat jawatan sebagai menteri.

Sebab itu apabila Dr. Mahathir tiba-tiba mengumumkan parti baharu sedangkan nama pun belum ada, sudah tentu angin yang bertiup kencang sekarang ialah PRU15 bakal tiba tidak lama lagi.

Apa lagi matlamat penubuhan sesebuah parti kalau bukan untuk bertanding pada pilihan raya? – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya