Kenangan terindah waktu kecil - Utusan Malaysia

Kenangan terindah waktu kecil

BOT-BOT penambang mengambil penumpang di jeti pekan Saratok, Sarawak. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

oleh Jamilah Maliki

“BANGUN! Cepat mandi.” Suara emak memecah hening dinihari. Meskipun itulah waktu tidur pa-ling lena tetapi saya sudah terjaga. Bersemangat bukan main. Semalam bapa sudah berpesan, bangun awal kalau mahu ikut dia ke pekan.

Bila semua sudah siap, kami menggagah ke pangkalan bercahayakan pelita minyak tanah. Jaraknya dari rumah tidak sampai lima minit berjalan kaki. Ayah berjalan di hadapan sekali memegang pelita. Saya di tengah dan emak di belakang. Dalam melangkah ke jeti, kami berperang dengan nyamuk dan agas. Maklumlah, baru pukul 3 pagi. Kami jadi rezeki mereka.

Suasana gelap dan pekat. Cahaya pelita minyak tanah yang dibawa bapa meliuk-lintuk sehingga menyukarkan langkah. Sekali-sekala bapa mencungkil sumbu dengan dawai kecil yang terselit di gagang pelita agar lebih panjang supaya cahayanya lebih terang.

Itulah kenangan masa kecil setiap kali mengikut ayah ke pekan. Pada masa itu, sungai merupakan satu-satunya jaringan pengangkutan yang meng-hubungkan kampung dengan pekan. Tiada jalan darat boleh digunakan, tidak seperti hari ini.

Menghampiri jeti, bunyi dut-dut-dut-dut-dut semakin jelas. Saya semakin teruja. Bunyi enjin menandakan bot penambang sudah menghampiri pangkalan. Apabila bot merapat, ayah memimpin saya meniti titi yang agak panjang dan kecil. Perlu berhati-hati sebab kalau tergelincir, bersedialah untuk terjatuh ke dalam selut berlumpur dan mendap kerana air baru hendak pasang.

Ayah suruh saya naik dahulu, kemudian emak diikuti bapa. Di dalam bot, baru saya tahu rupa-rupanya sudah ada ramai penumpang. Sebelum naik, tidak jelas siapa mereka kerana hari masih gelap. Di atas bot tidak ada pelita tapi bot sekarang ada lampu. Saiz bot mampu memuatkan 15 orang dewasa. Kanak-kanak dikira seorang juga. Saya masih ingat, bot itu menggunakan enjin minyak diesel. Kami gelar enjin sengkoak minyak solar. Tidak diketahui mengapa dan bagaimana gelaran tersebut diberi tetapi menurut perbualan bersama salah seorang penduduk kampung, gelaran sengkoak bermaksud sangkut dalam dialek Melayu Sarawak di daerah kami di Saratok.

MUDIK

Mudik ketika air pasang, cepat sampainya sebab mengikut arus sungai. Dengan kelajuan 35 hingga 40 kilometer sejam sejauh hampir 90 kilometer, tersengguk-sengguk jugalah kami menahan ngantuk. Saya jarang tidur dalam bot tambang. Saya lebih gemar menikmati bau sungai dan angin yang menampar wajah. Kadang-kadang air memercik masuk ke dalam bot pun saya jadikan bahan mainan. Rasa tidak sabar untuk sampai ke pekan yang membuatkan saya tidak boleh melelapkan mata agaknya.

Kini infrastruktur dan jari-ngan pengangkutan bertambah baik. Sungai sudah tidak lagi digunakan sebagai jaringan pe-ngangkutan utama. Inilah salah satu pengalaman sebagai anak Sarawak, penuh kenangan manis. Kenangan ini sentiasa saya ceritakan kepada anak-anak supaya mereka faham erti syukur.

PENULIS ialah Pensyarah Program Komunikasi Strategik, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya