SEJAK wabak COVID-19 melanda negara, kebiasaan baharu mula kelihatan diamalkan oleh orang ramai. Antara yang jelas adalah penglibatan meluas masyarakat dalam siri perbincangan, seminar dan forum dalam talian.
Pelbagai platform dalam talian digunakan oleh penceramah dan pembentang kertas kerja bagi menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Ini merupakan satu kebiasaan baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat memandangkan ilmu yang disampaikan lebih mudah diperoleh tanpa perlu berada di sesuatu tempat yang mungkin sahaja memakan masa untuk ke situ.
Apa yang penting, memiliki sambungan Internet yang baik bagi membolehkan peserta dapat menonton sehingga berakhirnya forum dalam talian. Malah para peserta pun dibenarkan bertanyakan soalan kepada penceramah. Kebanyakannya dalam bentuk santai, memudahkan lagi perbincangan sesuatu topik. Rata-rata penceramah yang menyampaikan ilmu ini terdiri daripada ilmuwan universiti, tokoh korporat dan personaliti terkenal.
PKP
Saya sendiri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu telah menjadi peserta dan penonton dalam pelbagai forum dalam talian. Ada yang menyebut sebagai webinar.
Sememangnya amat menarik apabila kita dapat berinteraksi dengan tokoh-tokoh ilmuwan secara maya yang selama ini sukar untuk berjumpa secara berdepan. Namun dengan teknologi, perkara yang sukar sebelum ini memudahkan kita berbuat demikian.
Antara perbincangan paling hangat melibatkan kesan pandemik Covid-19 terhadap pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Isu-isu seperti kesan pandemik Covid-19 terhadap pendidikan dan apakah bentuk pengajaran dan pembelajaran adalah antara forum dalam talian yang sering kali saya tonton.
Tidak kurang juga forum dalam talian berkenaan kesan pandemik Covid-19 terhadap usahawan. Forum sebegini sesuai untuk golongan usahawan bagi membolehkan mereka mengetahui cara dengan betul bagi menjalankan perniagaan dalam era pandemik Covid-19.
Tidak kurang juga forum dalam talian melibatkan tokoh-tokoh ilmuwan luar negara. Dalam hal ini, topik yang dibincangkan lebih khusus melibatkan penyelidik dan pensyarah. Misalnya, topik berkaitan menjalankan penyelidikan terutama dalam era Covid-19.
Begitu juga topik berkaitan penerbitan. Jika disenaraikan, begitu banyak topik yang dibincangkan dan ada antaranya khusus untuk golongan tertentu dan sebahagiannya pula boleh ditonton oleh sesiapa sahaja.
Justeru, marilah kita bersama-sama merebut peluang ini untuk menambahkan ilmu di dada. Forum dalam talian memberi seribu satu manfaat bagi memasyarakatkan ilmu untuk rakyat Malaysia.
Profesor Madya Rohami Shafie ialah Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan, Universiti Utara Malaysia.










