MINGGU ini – khusus tanggal 28 Julai dan 29 Julai – senario tanah air begitu berbahang.
Tak senang duduk pelayar WhatsApp, penggemar Facebook serta wartawan kecil seperti Tumpang ini dibuatnya.
Dengan keputusan mahkamah menyabitkan seorang bekas pemimpin kerajaan dalam kes-kes penyelewengannyalah dan kisah pergolakan politik termasuk di Sabah – di sebalik penularan si covid-19 yang tak sudah-sudah.
Ikut kacamata Tumpang, bahangnya lebih kurang begini:
Layanan berbeza penjawat awam?
Satu-satunya kriteria hidup adalah rule of law atau pendek kata, kejituan undang-undang.
Realiti Malaysia jika hendak selamat di era sungguh mencabar ini, mesti meneladani mereka yang tegas dan menghormati undang-undang.
Menggalakkan jenayah sebagai cara hidup, hanya melemahkan tekad penguatkuasaan undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), penguatkuasa cukai, Imigresen, Kastam serta Majlis-majlis agama Islam dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sudah tentu akhirnya melemahkan sistem dan pentadbiran keadilan di negara ini.
Pengertian kontranya ialah ibu bapa, guru, pasukan penguat kuasa, pemimpin dan anggota parti politik serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan mengamalkan salah laku secara profesional gelap dan bersistem.
Dan jika dilihat dalam konteks dakwaan terhadap para pemimpin tinggi kebelakangan ini amat terasa bahawa seolah-olah tidak menjadi isu lagi bila seseorang itu didakwa di mahkamah dan kemudian masih dikerumuni di majlis-majlis sosial dan politik.
Undang-undang Perintah Am memperuntukkan apabila seseorang penjawat awam dikenakan siasatan berkaitan sesuatu salah laku atau kesalahan perundangan seperti rasuah, penipuan dan lain-lain, individu itu digantung khidmatnya buat sementara. Selagi siasatan atau kesnya tidak selesai, selama itulah dia digantung jawatannya dan tidak dibenarkan berurusan dengan masyarakat.
Sebaliknya, dalam kes-kes anggota pentadbiran, ahli Parlimen dan penjawat jawatan politik, penggantungan jawatan dan fungsi tidak dikenakan.
Situasi begini sekali gus mempersoalkan kesaksamaan undang-undang khasnya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.
Sementelahan pula, pihak-pihak yang telah dihadapkan ke mahkamah mutakhir ini, mereka begitu bebas dan berleluasa menceburkan diri dalam kegiatan interaksi dengan orang ramai.
Sedangkan anggota pentadbiran awam, dalam tempoh perbicaraan, terpaksa mematuhi syarat-syarat penggantungan khidmat mereka sehingga keputusan kes masing-masing selesai di mahkamah.
Adakah sudah sampai masanya bagi anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri Kabinet, Timbalan Menteri, setiausaha politik, ahli parlimen serta jawatan-jawatan politik yang lain menerima layanan sama yang diterima penjawat awam?
Ini amat penting dijadikan amalan wajib demi teladan dan menghormati perlembagaan negara serta tuntutan rule of law – satu-satunya istilah yang kerap disalah mengerti oleh masyarakat.
Lompat parti sampai kiamat
Sukar sekali mahu mengekang tindak tanduk lompat parti ini.
Keputusan Mahkamah Agung kira-kira tiga dekad lalu menyebabkan parti-parti politik hari ini sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.
Dalam kes pada 1992, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan Nordin Salleh, Mahkamah Agung diketuai Tun Hamid Omar telah menegakkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi
Eusoffe Chin untuk membatalkan peruntukan perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN meninggalkan parti.
Dengan itu diputuskan bahawa peraturan Pas yang menghalang Nordin, bekas wakil rakyatnya melompat parti, melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Maka membawalah hingga hari ini sebarang langkah untuk parti politik memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi adalah tindakan tidak mengikut perlembagaan walaupun terdapat perjanjian antara parti politik dan wakil rakyat itu sebelum ini.
Cuma kalau dibawa senario politik semasa hari ini, ada titik noktahkah si pelaku lompat parti?
Maka kaedah untuk keluar daripada masalah lompat parti ini, barangkalilah dengan cara menyemak semula keputusan Mahkamah Agung pada 1992. Dan meyakinkan Mahkamah Persekutuan pada ketika ini bahawa keputusan tersebut tidak baik untuk kepentingan orang awam.
Satu cara lagi, dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghukum seseorang yang lompat parti mengosongkan kerusi itu secara automatik dan mengadakan pilihan raya kecil.
Dalam isu ini, Parlimen perlu meminda Perlembagaan terlebih dahulu sebelum DUN boleh mengadakan undang-undang anti lompat parti. Dan mahkamah mesti diyakinkan keputusan sebelum ini tidak baik dan bercanggah dengan prinsip demokrasi. – UTUSAN










