KUALA LUMPUR: Harapan skuad pecut berpasukan untuk tampil dengan barisan terbaik di Sukan Komanwel Glasgow pada Julai ini tercalar apabila Muhammad Ridwan Sahrom berkemungkinan terlepas temasya tersebut akibat kecederaan bahu kiri serius yang dialaminya.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui peluang Ridwan untuk sempat pulih sebelum temasya Glasgow membuka tirai agak tipis meskipun pelumba itu menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan.
“Untuk kejohanan kebangsaan memang Ridwan tak sempat dan dia masih ada dua minggu lagi untuk pakai anduh.
“Komanwel pun saya rasa tak sempat, tetapi untuk Sukan Asia mungkin boleh sebab progres pemulihan dia memang agak laju,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ridwan sebelum ini putus ligamen bahu kiri selepas terbabit dalam kemalangan dalam acara keirin pada saingan Piala Dunia di Hong Kong sehingga memaksanya menjalani pembedahan.
Ketiadaan pelumba berusia 25 tahun itu dijangka memberi tamparan besar kepada skuad pecut berpasukan negara memandangkan dia merupakan antara tonggak utama bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena.
Situasi tersebut sekali gus membuka ruang lebih besar buat pelumba pelapis, Adib Andhar Adnan untuk mengisi kekosongan dalam barisan utama negara menjelang Glasgow.
Harnizam bagaimanapun menegaskan kem negara tidak mahu terlalu memaksa Ridwan mempercepatkan proses pemulihan kerana bimbang kecederaan bahunya kembali berulang.
“Kita tak mahu dia terlalu paksa sebab tangan dia penting untuk tarik ‘handle’, lebih-lebih lagi dalam acara ‘standing start’ untuk pecut berpasukan.
“Buat masa sekarang dia banyak fokus kepada latihan bahagian bawah badan sahaja sementara tunggu keadaan bahunya betul-betul stabil,” katanya. – UTUSAN










