LONDON: Tindakan drastik Chelsea memecat Liam Rosenior membuktikan kelab berkenaan tidak mempunyai rancangan jangka panjang bagi membentuk pasukan terbaik.
Rosenior dipecat semalam susulan kekalahan 3-0 kepada Brighton yang menyaksikan Chelsea mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris tanpa menjaringkan sebarang gol.
Bekas pemain England, Gary Neville mengkritik pemilik Chelsea sebagai ‘gila’ dan mendakwa Rosenior sudah dikhianati selepas kelab itu memecat pengendali berkenaan tidak sampai empat bulan memegang jawatan.
Pengendali berusia 41 tahun itu dilantik pada 6 Januari menerusi kontrak enam tahun setengah selepas pemergian mengejut Enzo Maresca, namun hanya bertahan 106 hari di Stamford Bridge.
Neville berkata, keputusan berkenaan membuktikan pemilik Chelsea, BlueCo tiada perancangan dan tidak tahu apa yang sedang dilakukan mereka.
“Polisi di Chelsea ini, saya langsung tidak nampak hala tujunya. Perjanjian enam atau lapan tahun yang mereka berikan hampir melucukan sejak awal lagi, sama ada kepada pengurus atau pemain.
“Pemilik ini tidak tahu apa yang mereka lakukan. Saya sendiri pernah melakukan kesilapan besar sebagai pemilik dan kadangkala anda perlu mengaku anda tidak tahu apa yang dibuat,” kata Neville.
Neville turut menyalahkan beberapa pemain senior Chelsea termasuk Enzo Fernandez dan Marc Cucurella kerana didakwa tidak membantu Rosenior.
Fernandez sebelum ini mengkritik pengurusan Chelsea kerana memecat Maresca, manakala Cucurella juga mempersoalkan masa keputusan itu dibuat dan mengakui pemergian pengurus berkenaan memberi kesan besar kepada skuad.
“Cucurella dan Fernandez, dua pemain berpengalaman yang mungkin saja dimiliki Chelsea ketika ini, seolah-olah menikam Rosenior sejak beberapa minggu lalu apabila menyatakan mereka lebih menyukai Maresca.
“Sedangkan mereka juga tidak begitu cemerlang di bawah Maresca. Saya fikir Maresca juga jurulatih yang baik,” katanya.
Prestasi hambar Chelsea menyebabkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan semakin tipis.
Chelsea kini jatuh ke tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris selepas dipintas Brighton dan ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool yang berada di tempat kelima serta masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Chelsea dalam kenyataan rasmi memaklumkan Calum McFarlane akan mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara sehingga hujung musim sambil dibantu barisan kejurulatihan sedia ada. – AGENSI/UTUSAN










