BAHRAIN: Pasukan Formula Satu (F1) McLaren yakin mempertahankan kejuaraan dunia musm lalu selepas melancarkan jentera baharu MCL40 bagi menghadapi perlumbaan 2026.
Pendedahan itu dibuat sempena pelancaran musim secara dalam talian yang berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain, kelmarin.
MCL40 sebelum ini telah menjalani ujian awal secara tertutup di Barcelona menggunakan livery khas ‘stealth’, namun jentera berkenaan akan tampil dengan warna rasmi pasukan semasa ujian pra-musim pertama selama tiga hari di Bahrain.
Ketua pereka McLaren, Rob Marshall berkata, reka bentuk MCL40 dibina sepenuhnya mengikut peraturan baharu F1 yang diperkenalkan bagi musim 2026, sekali gus menuntut perubahan besar dari segi aerodinamik, struktur keselamatan dan pembungkusan komponen.
“Dari sudut aerodinamik, lantai bawah yang sangat melengkung seperti kereta tahun lalu kini sudah tiada. Kami kini berdepan dengan kereta yang mempunyai bahagian bawah yang jauh lebih rata, seperti generasi terdahulu.
“Apabila kita bergerak ke belakang sekali lagi, suspensi belakang kami sebenarnya merupakan evolusi daripada tahun lalu.
“Kami sangat berpuas hati dengan apa yang kami lakukan tahun lepas, jadi kami hanya membinanya semula, mereka bentuk semula kotak gear supaya lebih ringan dan lebih pendek atas sebab-sebab yang jelas,” katanya.
Mengulas cabaran utama pembangunan MCL40, Marshall mengakui kesukaran terbesar adalah menyeimbangkan fokus antara persaingan merebut kejuaraan musim lalu dan persiapan awal bagi era baharu F1 2026.
“Kami perlu memastikan prestasi maksimum musim lalu, dalam masa sama membina asas kukuh untuk masa depan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










