Harap semua baik-baik sahaja - Palmero

Harap semua baik-baik sahaja – Palmero

Gabriel Palmero kekal positif dengan apa jua keputusan rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero kekal tenang menjelang keputusan rayuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), esok.

Keputusan akhir mahkamah tertinggi sukan dunia itu bukan sahaja menentukan perjalanan karier Palmero, tetapi turut membabitkan enam lagi pemain warisan negara.

“Saya hanya tunggu dan saya percaya semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini. Saya perlu kekal tenang dan tunggu keputusan akhir. Saya di sini untuk bermain bola sepak” kata Palmero.

Selepas dilepaskan CD Tenerife, Palmero kini beraksi untuk Kuching City FC dan beliau sudah merekodkan dua penampilan serta meledak satu gol bersama The Cats setakat ini.

Ditanya kesediaannya untuk beraksi mewakili Harimau Malaya selepas ini, Palmero menyatakan kesediaan bagi membantu Malaysia menjelang aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam bulan depan.

Pemain berusia 24 tahun itu juga mengakui dirinya perlu terus bekerja keras untuk memastikan diri bersedia sekiranya dipanggil untuk mewakili skuad kendalian Peter Cklamovski.

“Sudah tentu (bersedia hadapi Vietnam). Saya sentiasa terus berusaha dan bekerja keras, sudah tentu saya bersedia.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan mereka (para pemain kebangsaan), saya ada berbual dengan Safawi (Rasid) dan Noaa (Laine), mereka kawan yang sangat baik.

“Saya juga ada bercakap dengannya (Cklamovski) dan hubungan kami memang sangat rapat. Beliau sangat baik serta profesional dan saya sentiasa mengekalkan hubungan rapat dengannya,” kata Palmero.

Status sama ada Palmero bersama enam lagi pemain warisan boleh mewakili Harimau Malaya atau tidak bakal diputuskan oleh pada Khamis ini dengan peminat pastikannya mengharapkan keputusan positif.

Enam lagi pemain warisan yang turut menunggu keputusan CAS ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Malaysia yang kini mendahului kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 bakal menentang Vietnam di laman lawan dalam aksi terakhir bagi penentuan negara mana akan beraksi di kejohanan berprestij itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN