PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui Nur Alyssa Mohd Farid masih berada dalam fasa pemantapan teknikal, namun yakin pelumba muda itu memiliki ramuan asas yang cukup kuat untuk dibentuk menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina, bulan depan.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memperhalusi aspek kayuhan serta pecutan awal Alyssa yang sebelum ini kurang diberi penekanan ketika di peringkat remaja.
“Dia masih bergelut dari segi kayuhan dan pecutan awal kerana ketika di peringkat junior dia tidak banyak menekankan kayuhan yang kemas, tetapi dia mempunyai daya kilas yang kuat dan apabila sudah mencapai kelajuan maksimum, dia mampu kekal kompetitif.
“Saya harap kita sasarkan pingat terlebih dahulu dan tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi, kerana jika mampu meraih pingat itu sudah memadai serta boleh menjadi petunjuk positif ke arah Sukan Asia,” kata Harnizam.
Beliau turut memaklumkan empat pelumba wanita iaitu Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan akan menyertai kem latihan intensif di Melbourne sebagai persiapan terakhir sebelum ke Tagaytay, bersama Alyssa yang masih baharu dalam kelompok elit negara.
Sementara itu, Alyssa menyifatkan peluang berlatih bersama jaguh berpengalaman seperti Datuk Azizulhasni Awang sebelum ini sebagai pengalaman berharga untuk mempercepat proses kematangannya di pentas tertinggi.
“Saya masih menyesuaikan diri sepenuhnya di atas trek tetapi sentiasa memperbaiki posisi dan basikal baharu ini lebih ringan serta memberi kelebihan untuk bersaing dalam kejohanan,” katanya.
Alyssa yang mencuri tumpuan selepas meraih emas keirin elit dalam Siri Trek ASEAN Piala Presiden di Velodrom Nasional Januari lalu kini berazam menjadikan kem latihan di Australia sebagai pentas pengesahan kemampuannya, sekali gus membuktikan sentuhan Harnizam mampu melahirkan satu lagi sandaran masa depan negara. – UTUSAN










