MELBOURNE: Penganjur Terbuka Australia menggesa para peminat supaya minum air secukupnya dan berada di tempat teduh ketika kejohanan itu bersiap sedia menghadapi gelombang haba luar biasa pada hari Selasa, dengan suhu dijangka meningkat setinggi 45 darjah Celsius.
Cuaca melampau itu memaksa Kejohanan Grand Slam Kerusi Roda ditangguhkan selama 24 jam manakala perlawanan beregu dan junior di gelanggang luar juga berkemungkinan terjejas.
Kejohanan ini menggunakan skala tekanan haba dari 1 hingga 5, dengan tahap lima sebagai yang tertinggi.
Apabila tahap maksimum dicapai, permainan di gelanggang luar akan digantung.
Pemain pilihan utama Carlos Alcaraz dan Aryna Sabalenka mengetuai aksi dalam empat perlawanan suku akhir perseorangan, namun mereka akan beraksi di Arena Rod Laver yang mempunyai bumbung boleh ditutup.
“Kami menggalakkan semua orang membuat persediaan untuk hari yang panas. Kesihatan dan keselamatan semua yang berada di lokasi adalah keutamaan,” kata penganjur.
Syarat khas akan dilaksanakan untuk kakitangan kejohanan, termasuk pengutip bola yang akan menjalani giliran tugas yang dikurangkan dan masa pemulihan yang ditingkatkan.
Pintu masuk ke Melbourne Park akan dibuka lebih awal daripada biasa bagi mengelakkan peminat terpaksa beratur berjam-jam di bawah panas terik.
Cuaca panas melampau telah mencetuskan penggantungan permainan pada Sabtu apabila suhu mencecah 40 darjah Celsius.
Amaran bahaya kebakaran melampau turut dikeluarkan di seluruh negeri Victoria, tempat Melbourne terletak, dengan Biro Meteorologi meramalkan bahawa beberapa kawasan pedalaman boleh mencatat suhu sehingga 49 darjah Celsius. – AFP










