KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berpandangan kejayaan Malaysia dalam Piala Thomas tidak wajar bergantung kepada status ‘superstar’ seorang pemain.
Jonassen berkata, kejohanan berpasukan menuntut kesatuan dan pengorbanan kolektif, justeru fokus tidak boleh tertumpu kepada seorang pemain sahaja walaupun berstatus bintang.
“Dalam kejohanan berpasukan, tiada istilah superstar kerana semua pemain adalah sebahagian daripada pasukan.
“Kadang kala bukan pemain paling terkenal yang menentukan kemenangan dalam perlawanan kelima, sebab itu semua orang perlu bersedia memainkan peranan masing-masing,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, semalam.
Menurut beliau, kemunculan semula Zii Jia tetap memberi nilai tambah dari segi variasi dan fleksibiliti pemilihan, namun perbincangan mengenai skuad Piala Thomas masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.
Jonassen berkata tumpuan ketika ini adalah menilai prestasi, kecergasan dan kesiapan semua pemain dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum keputusan akhir dibuat.
“Untuk berjaya dalam tempoh 10 hari kejohanan itu, kita perlukan pasukan paling kuat, cergas dan bebas kecederaan, dan semua pemain mesti bersedia menyumbang,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Denmark itu mengakui sebagai peminat badminton, beliau gembira melihat Zii Jia kembali beraksi dan memberi warna tersendiri kepada suasana kejohanan.
“Sebagai peminat, saya rasa semua orang dapat merasai getaran dan rasa meremang apabila dia melangkah masuk ke gelanggang di Terbuka Malaysia dengan sokongan penuh peminat,” katanya. – UTUSAN










