PETALING JAYA: Pelumba basikal trek negara, Sawda Hasbullah mengintai peluang untuk melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia apabila musim 2026 menjadi tahun terakhirnya dalam kategori berkenaan.
Sawda berkata, dia aktif menjalani program latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa tersebut dan mahu memastikan prestasi terbaik sepanjang musim ini.
“Saya masih berstatus atlet remaja. Jadi, saya perlu rebut peluang untuk habiskan tahun ini dengan pencapaian yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dianggap sebagai permata baharu dalam skuad negara, Sawda turut berkongsi sasaran untuk memperbaiki rekod peribadi di kejohanan berprestij lain.
“Acara paling hampir sekarang adalah Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2026 yang akan berlangsung pada Mac ini.
“Itu juga menjadi salah satu fokus latihan kerana akan ada pemilihan untuk mewakili Malaysia,” katanya.
Menurut Sawda, perjalanannya dalam dunia berbasikal masih panjang dan mahu menamatkan tahun terakhir dalam kategori remaja dengan cemerlang sebelum beralih ke tahap elit.
Tahun lalu, Sawda mencipta sensasi apabila berjaya memecahkan rekod remaja wanita Asia bagi acara ujian masa 1 kilometer dengan catatan masa 1:10.818 saat selain menghadiahkan emas pertama skuad berbasikal trek remaja negara di ACC 2025. – UTUSAN










