Rawatan pergigian ‘tertinggal’ di pedalaman

Rawatan pergigian ‘tertinggal’ di pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap kesihatan awam, kesihatan mulut sering diletakkan di pinggir perbincangan, seolah-olah hanya isu sampingan berbanding penyakit tidak berjangkit lain.

Namun dari sudut klinikal dan kemanusiaan, kesihatan pergigian adalah asas kepada fungsi kehidupan seharian, maruah diri dan kesejahteraan menyeluruh individu.

Justeru, ketidaksamaan akses kepada rawatan pergigian bukanlah isu teknikal semata-mata tetapi mencerminkan jurang yang lebih mendalam dalam sistem kesihatan dan kesedaran masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Data kesihatan pergigian kebangsaan menunjukkan lebih 85 peratus orang dewasa di Malaysia pernah mengalami kerosakan gigi, manakala lebih 90 peratus menunjukkan tanda-tanda penyakit gusi.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun pula, lebih 70 peratus mengalami karies gigi. Statistik ini menggambarkan beban penyakit pergigian yang meluas dan berterusan. Namun angka-angka ini tidak sepenuhnya mencerminkan penderitaan sebenar dialami sebahagian masyarakat, khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini kerana mereka hanya hadir mendapatkan rawatan apabila penyakit mencapai tahap serius dan memusnahkan.

Sebagai pengamal klinikal, amat kerap kami berhadapan dengan pesakit yang hadir dalam keadaan sangat lewat, termasuk pesakit kanser mulut dengan lesi yang besar, kronik, bernanah, berbau dan dalam kes tertentu diserang ulat. Keadaan ini bukan sekadar gambaran penyakit yang terabai tetapi simbol kegagalan sistem kesedaran dan pendekatan rawatan yang benar-benar mendekati realiti hidup pesakit.

Bagi ramai penduduk luar bandar, mendapatkan rawatan pergigian bukan sekadar soal ketersediaan klinik tetapi melibatkan faktor jarak perjalanan yang jauh, kos tidak langsung, kebergantungan kepada ahli keluarga, keterbatasan fizikal serta ketakutan dan stigma terhadap rawatan pergigian.
Dalam konteks ini, rawatan sering dilihat sebagai pilihan terakhir, bukan keperluan pencegahan yang berterusan.

Sistem yang terlalu berpusatkan fasiliti akhirnya gagal menembusi kehidupan seharian pesakit. Keadaan ini menjadi lebih kompleks dalam kalangan warga emas dan golongan berkeperluan khas.

Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua, dengan peningkatan bilangan warga emas mengalami kehilangan gigi, keperluan prostodontik yang tinggi serta masalah kesihatan kronik saling berkait. Namun ramai warga emas, terutamanya di luar bandar, tidak menerima rawatan susulan mencukupi.

Gigi palsu yang tidak sesuai, jangkitan mulut yang berpanjangan dan kesukaran mendapatkan rawatan lanjutan akhirnya menjejaskan pemakanan dan kualiti hidup mereka.

Dalam kalangan pesakit berkeperluan khas pula, persekitaran klinik konvensional sering tidak sesuai, menyebabkan mereka tercicir daripada sistem rawatan rutin.

Tidak dinafikan, pendekatan konvensional seperti klinik kesihatan, program pergigian sekolah, klinik bergerak dan aktiviti tanggungjawab sosial sudah lama dilaksanakan. Namun kebanyakan pendekatan ini masih bersifat episodik dan tidak cukup berterusan untuk menghasilkan perubahan tingkah laku jangka panjang.

 

SISTEM kesihatan pergigian perlu berani keluar dari zon selesa dengan hadir secara berterusan dalam komuniti dan berasaskan empati untuk merapatkan jurang akses.

 

KESEDARAN

Kita banyak membawa pesakit ke sistem tetapi kurang membawa sistem masuk ke dalam kehidupan pesakit. Intervensi yang bersifat sementara tanpa kesinambungan rawatan dan pendidikan akhirnya gagal membina kepercayaan serta kesedaran mendalam dalam kalangan masyarakat.

Isu teras yang sering terlepas pandang ialah kesedaran pesakit itu sendiri. Walau sebaik mana sistem disusun, tanpa perubahan cara fikir masyarakat terhadap diet, kebersihan mulut dan kepentingan pemeriksaan awal, hanya menyebabkan sistem kesihatan terus berada dalam mod reaktif.

Amalan pemakanan tinggi gula, kebersihan mulut yang lemah dan budaya menangguhkan rawatan masih berakar kuat, khususnya dalam komuniti yang kurang pendedahan pendidikan kesihatan.

Kesedaran individu faktor paling berkesan, namun juga paling sukar dibina tanpa pendekatan yang bersifat empatik dan berterusan.

Dalam konteks inilah pendekatan berteraskan kemanusiaan menjadi semakin relevan. Kesihatan pergigian harus ditangani sebagai amanah sosial.

Rawatan perlu disampaikan dengan empati, kefahaman budaya dan kehadiran yang konsisten dalam komuniti.

Lawatan rumah bagi pesakit terlantar, rawatan berkeperluan khas di persekitaran yang selesa serta pendidikan kesihatan yang disesuaikan dengan realiti hidup setempat adalah antara pendekatan yang lebih berkesan berbanding intervensi bersifat sementara.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Kulliyah Pergigian melihat isu ini sebagai tanggungjawab kemanusiaan, bukan sekadar mandat akademik.

Pendekatan yang diambil ialah melengkapkan sistem sedia ada melalui kolaborasi dengan hospital akademik, inisiatif klinik bergerak, penglibatan pelajar dalam komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan luar bandar, serta usaha memperluaskan rawatan kepada pesakit berkeperluan khas.

Usaha ini berteraskan nilai ihsan dan empati, dengan tujuan untuk mendengar keperluan masyarakat sebelum menawarkan rawatan.

Cabaran lebih berat, dapat dilihat di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Faktor geografi, logistik dan kekurangan kesinambungan rawatan menjadikan penyakit pergigian sering dikesan pada tahap yang terlalu lewat.

Realiti ini menuntut keberanian untuk beralih kepada model penyampaian perkhidmatan yang lebih fleksibel, berterusan dan berasaskan komuniti.

Akhirnya, kita perlu berani bertanya soalan yang tidak selesa, adakah sistem kesihatan pergigian kita benar-benar gagal atau kita sebenarnya terlalu selesa dengan pendekatan sekadar kelihatan berfungsi? Selagi kejayaan diukur melalui bilangan klinik, jumlah program dan laporan aktiviti tetapi pesakit masih datang pada peringkat akhir penyakit, maka kita sedang menipu diri sendiri dengan ilusi pencapaian.

Apakah makna semua kempen kesedaran jika kanser mulut masih dikesan apabila sudah bernanah dan berulat? Apakah nilai semua latihan profesional jika penderitaan manusia terus berlaku di ruang yang tidak pernah kita jejak? Dan apakah gunanya sistem yang lengkap jika gagal sampai kepada mereka yang paling memerlukan?

Mungkin sudah tiba masanya kita menghentikan kitaran melakukan perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeza. Kesihatan pergigian tidak akan berubah selagi kita terus menunggu pesakit datang kepada sistem. Sistem itu sendiri perlu berani keluar dari zon selesa, masuk ke rumah pesakit, ke pedalaman, ke ruang kehidupan sebenar masyarakat. Pencegahan tidak boleh lagi bergantung kepada poster dan ceramah sesekali tetapi mesti menjadi kehadiran berterusan yang membina kepercayaan.

Lebih radikal lagi, kita perlu mengubah naratif kegagalan mendapatkan rawatan awal bukan kegagalan pesakit semata-mata tetapi sistem. Selagi kita tidak mengakui hakikat ini, jurang rawatan akan terus melebar walaupun dengan segala teknologi, dana dan kepakaran yang ada.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Haikal Muhamad Halil ialah Dekan dan Pensyarah/Pakar Pergigian Restoratif, Kulliyah Pergigian(KOD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×