RABAT: Juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 bakal diketahui awal pagi esok, melibatkan pertembungan Senegal dan Maghribi dalam perlawanan kemuncak kejohanan berprestij benua Afrika itu yang berlangsung di Stadium Moulay Abdellah.
Pertemuan dua kuasa besar Afrika ini dijangka mencuri tumpuan apabila masing-masing turun dengan misi tersendiri, di mana Senegal mahu menghadiahkan Sadio Mane kejuaraan pada penampilan terakhir manakala Maghribi mahu menamatkan kemarau 50 tahun sejak memenangi piala itu pada tahun 1976.
Kedua-dua pasukan itu, berjaya mengharungi cabaran panjang sejak peringkat kumpulan yang bermula pada 22 Disember lalu, sebelum menempah tempat ke final.
Pentas final ini juga, membuka peluang kepada Mane mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terhebat Afrika sepanjang zaman jika mampu memimpin Senegal menewaskan Maghribi.
Bekas bintang Liverpool itu bakal berusia 34 tahun pada April ini dan sudah mengumpul lebih 120 penampilan bersama negaranya sejak membuat penampilan sulung menentang Maghribi pada 2012.
Kemuncak karier antarabangsanya hadir pada Februari 2022 apabila Mane menjadi watak utama membantu negaranya menewaskan Mesir menerusi penentuan penalti pada final AFCON di Yaounde.
Mane berharap tahun 2026 akan menjadi kenangan manis dengan meraih pingat juara AFCON buat kali kedua sebelum mengalihkan tumpuan ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, di mana Senegal berada dalam kumpulan sama dengan Perancis dan Norway.
“Sebelum memenangi Piala Afrika, kadang-kadang saya bermain buruk kerana tekanan. Di Eropah, orang menyokong pasukan kebangsaan tetapi ada yang lebih cintakan kelab. Di Senegal, keadaannya berbeza kerana rakyat menyokong pasukan negara sepenuhnya.
“Itulah penyebab tekanan sangat besar dan saya perlu memenanginya. Ia amat penting dan saya harap dapat menang dan membawa pulang trofi ke Dakar,” kata Mane.
Sementara itu, Maghribi berazam mengukuhkan status sebagai antara kuasa bola sepak utama Afrika dan bersedia menamatkan penantian penuh kekecewaan selama setengah abad menjulang kejuaraan AFCON.
Kali terakhir mereka menjulang kejuaraan Afrika buat pertama kali adalah pada tahun 1976 dan cuma sekali lagi mara ke final pada 2004.
Maghribi menjadi pilihan utama kerana menjadi tuan rumah, selain dijangka menerima sokongan padu majoriti penonton memenuhi gelanggang final itu.
“Ia satu detik yang amat istimewa buat kami kerana sekali lagi mencipta sejarah. Pasukan ini layak menerimanya, begitu juga seluruh rakyat Maghribi.
“Kami gembira, tetapi tugas kami belum lagi selesai dan keluar sebagai pemenang dalam aksi final ini akan menjadi penutup paling bermakna dalam kejohanan ini,” kata kaptennya Achraf Hakimi. – AGENSI/UTUSAN







