LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan penjaga gol Robert Sanchez ketika tewas 3-2 kepada Arsenal pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Stamford Bridge, semalam.
Sanchez gagal mengendalikan sepakan penjuru Declan Rice pada minit ketujuh yang membolehkan Ben White menjaringkan gol pembukaan, sebelum menumpahkan hantaran White awal babak kedua untuk membolehkan Viktor Gyokeres menyamakan kedudukan.
“Saya meminta Rob (Sanchez) melakukan perkara yang belum pernah dilakukannya sebelum ini dan apabila pemain saya melakukan kesilapan, saya yang bertanggungjawab, itu terpulang kepada saya.
“Ini adalah perlawanan pertama Rob bersama saya selepas dua hari latihan dan tugas saya ialah membantu mereka, bukan menyalahkan mereka,” kata Rosenior.
Chelsea kini menduduki tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 31 mata, 18 mata di belakang Arsenal yang berada di tangga teratas, dan mereka akan menentang Brentford pada Sabtu ini.
Rosenior menegaskan bahawa pengalaman ini akan menjadi pembelajaran kepada Sanchez dan pasukan bagi meningkatkan persefahaman dalam menghadapi tekanan perlawanan penting.
Arsenal, sebaliknya menguasai permainan dengan 17 percubaan berbanding 10 percubaan Chelsea, dengan jaringan White, Gyokeres dan Zubimendi hampir menamatkan aksi di tangan mereka menjelang perlawanan kedua pada 3 Februari.
Chelsea akan cuba membalas dendam di London Utara dalam perlawanan penentuan, manakala Rosenior menekankan fokus utama beliau adalah memperbaiki prestasi pasukan dan membimbing penjaga gol mereka. – AGENSI/UTUSAN










