Alcaraz mara, Sabalenka ‘dikerah’ sebelum menang

Alcaraz mara, Sabalenka ‘dikerah’ sebelum menang

Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Carlos Alcaraz meneruskan misinya untuk memenangi gelaran sulung Terbuka Australia apabila menewaskan pemain Perancis, Corentin Moutet, semalam sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik.

Sementara, pemain Belarus yang juga pilihan utama, Aryna Sabalenka mengakui emosinya bercelaru walaupun mencatat kemenangan.

Finalis tiga kali Daniil Medvedev turut bertarung hebat pada hari keenam kejohanan di Melbourne Park yang panas dan cerah, begitu juga Coco Gauff.

Alcaraz langsung tidak terancam menentang pemain Perancis pilihan ke-32 itu apabila menang mudah 6-2, 6-4, 6-1 di Rod Laver Arena dalam masa dua jam 5 minit.

Ia merupakan perlawanan Grand Slam ke-100 bagi pemain Sepanyol itu dan beliau memiliki rekod menang-kalah yang mengagumkan 87-13, menyamai legenda Bjorn Borg pada tahap yang sama dalam kerjayanya.

Kemenangan tersebut menemukan Alcaraz dengan pemain Amerika Syarikat pilihan ke-19, Tommy Paul, bagi merebut tempat ke suku akhir.

Paul mara selepas Alejandro Davidovich Fokina dari Sepanyol menarik diri akibat kecederaan lutut yang jelas kelihatan ketika ketinggalan dua set.

“Ia bukan perlawanan yang mudah. Sejujurnya, apabila anda bermain dengan seseorang seperti Corentin, anda tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Alcaraz yang cuba melengkapkan koleksi kejuaraan utamanya dengan gelaran yang masih belum dimenangi.

Dalam pada itu Sabalenka turut berdepan kesukaran menentang pemain tidak diletakkan pilihan, Anastasia Potapova kelahiran Rusia yang mewakili Austria, sebelum menang 7-6 (7/4), 7-6 (9/7) dalam tempoh sedikit melebihi dua jam yang penuh debaran.

Pemain Belarus itu berusaha memenangi gelaran buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, selepas dikejutkan oleh Madison Keys pada perlawanan akhir tahun lalu.

“Saya sentiasa berada dalam posisi bertahan, salah satu hari di mana anda perlu berjuang hanya untuk mengembalikan bola,” kata pemain nombor satu dunia itu.

Gauff, pilihan ketiga, akan bertemu pilihan ke-19 Karolina Muchova selepas menewaskan rakan senegara Hailey Baptiste 3-6, 6-0, 6-3.

Gauff, 21 tahun, pernah memenangi Terbuka AS dan Terbuka Perancis, namun pencapaian terbaiknya di Melbourne setakat ini ialah separuh akhir. – AFP

Pemain Rusia yang meningkat naik dengan pantas, Mirra Andreeva selaku pilihan kelapan, akan bertemu Elena-Gabriela Ruse dari Romania kemudian pada Jumaat.
Jasmine Paolini, pilihan ketujuh dari Itali, akan berdepan remaja Amerika Syarikat yang berbahaya, Iva Jovic. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN