Alcaraz mara ke separuh akhir Terbuka Australia

Alcaraz mara ke separuh akhir Terbuka Australia

Carlos Alcaraz mara ke separuh akhir selepas menewaskan Alex De Minaur dalam suku akhir tenis Terbuka Australia di Melbourne, sebentar tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Carlos Alcaraz mara ke separuh akhir Terbuka Australia buat kali pertama dan bakal berdepan Alexander Zverev dalam usaha selangkah lebih dekat mencipta sejarah tenis.

Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu membisukan penyokong tuan rumah di Melbourne apabila dengan mudah menewaskan harapan tempatan Alex de Minaur 7-5, 6-2, 6-1 di Rod Laver Arena.

Alcaraz, 22 tahun, masih belum kehilangan sebarang set ketika mara menuju gelaran sulung Terbuka Australia.

“Saya benar-benar gembira dengan cara saya bermain dalam setiap perlawanan, di setiap pusingan tahap permainan saya semakin meningkat. Hari ini saya rasa sangat selesa, bermain tenis yang hebat dan saya benar-benar bangga,” katanya yang sebelum ini tidak pernah melepasi peringkat suku akhir di Australia dalam empat penampilan terdahulu.

Terbuka Australia merupakan satu-satunya kejohanan Grand Slam yang belum dimenangi Alcaraz.

Jika dia menewaskan Zverev dan seterusnya memenangi perlawanan akhir Ahad ini, dia akan mengatasi rakan senegara serta legenda Rafael Nadal sebagai lelaki termuda memenangi keempat-empat kejohanan utama.

Nadal berusia 24 tahun ketika mencapainya.

Selaku pilihan utama, Alcaraz bermula pantas menentang pilihan keenam Australia itu, yang telah mara ke peringkat lapan terbaik di semua kejohanan Grand Slam, namun masih belum pernah melangkah lebih jauh.

Dalam set pembukaan yang turun naik, juara enam Grand Slam itu meluru kepada pendahuluan 3-0, sebelum De Minaur memenangi tiga permainan berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 3-3, disambut sorakan gemuruh penyokong.

Alcaraz yang kembali bersemangat menghentikan momentum tersebut dan mendahului 5-3, tetapi kemudian mensia-siakan peluang menutup set dan dipatahkan servisnya.

Kedudukan menjadi 5-5 sebelum Alcaraz meningkatkan intensiti untuk memenangi dua permainan berikutnya dan merangkul set tersebut dengan De Minaur jelas menyesali kegagalan memanfaatkan peluangnya.

Pemain Australia berusia 26 tahun itu membayar harga mahal apabila Alcaraz menghukumnya untuk menguasai set kedua dalam masa 44 minit.

Momentum itu dibawa ke set ketiga dan dia meningkatkan lagi tahap permainan.

Alcaraz mendahului 3-0 dalam masa kurang 20 minit dalam perjalanan menuju kemenangan kejam, menutup perlawanan dengan ace kelimanya.

Terdahulu, pilihan ketiga Jerman Zverev melepaskan 24 ace dalam kemenangan 6-3, 6-7 (5/7), 6-1, 7-6 (7/3) ke atas Learner Tien dari Amerika Syarikat untuk menempah tempat ke separuh akhir.

“Saya telah melihatnya sepanjang kejohanan dan saya tahu dia bermain tenis yang hebat dan agresif. Saya perlu bersedia, bukan sahaja saya tetapi seluruh pasukan saya juga.

“Kami perlu bermain dengan taktikal yang sangat baik, ini akan menjadi pertarungan yang hebat,” kata Alcaraz mengenai Zverev. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×