BANGKOK: Kontinjen Malaysia berpeluang meraih tiga pingat emas Sukan SEA 2025 hari ini menerusi acara berpasukan badminton lelaki dan juga hoki 5 sebelah (5s) lelaki serta wanita.
Acara badminton berpasukan lelaki yang meletakkan sasaran meraih emas akan membuat perhitungan dengan Indonesia dalam pentas final di Gimnasium 4, Universiti Thammasat.
Berdasarkan prestasi semasa, skuad negara berpeluang untuk menjuarai perlawanan, namun apa yang dibimbangkan ialah kemampuan pemain perseorangan untuk menyumbang mata.
Dalam pada itu, skuad hoki 5s negara terlebih dahulu akan berdepan Filipina dalam aksi separuh akhir bagi kategori lelaki dan wanita, malah pasukan kebangsaan dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke perebutan pingat emas pada sebelah petang.
Keyakinan itu bersandarkan persembahan skuad negara mengatasi Filipina dengan jurang gol yang besar di peringkat kumpulan dengan skuad lelaki menang 18-0 manakala skuad wanita menang 13-0.
Di pentas final yang akan berlangsung di Stadium Hoki Royal Thai Air Force, skuad 5s lelaki akan berdepan pemenang antara Thailand dan Indonesia, begitu juga dengan skuad wanita.
Pada masa yang sama, kontinjen Malaysia turut mengintai potensi pingat daripada sukan lain pada hari ini antaranya basikal bukit, jujitsu, petanque dan juga taekwondo. – UTUSAN










