Liverpool lebih 'gagah' tanpa Salah

Liverpool lebih ‘gagah’ tanpa Salah

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kanan) hanya duduk di bangku simpanan semasa aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Legenda Liverpool Steve Nicol, memberi amaran kepada pengendali Arne Slot bahawa dia akan melakukan kesilapan besar jika menyenaraikan semula Mohamed Salah dalam kesebelasan utama apabila Reds menentang Sunderland, awal pagi esok.

Salah, 33, diletakkan sebagai pemain simpanan ketika Liverpool mencatat kemenangan 2-0 ke atas West Ham United, dengan jaringan Alexander Isak dan Cody Gakpo memastikan tiga mata penting.

Slot mengambil keputusan itu selepas prestasi kurang memberangsangkan Liverpool musim ini, apabila tewas kepada Manchester City, Nottingham Forest dan PSV Eindhoven.

Nicol menegaskan Slot perlu mengekalkan strategi defensif yang kukuh tanpa Salah di atas padang.

“Anda perlu mengekalkannya di bangku simpanan. Anda perlu bermula dari belakang, memastikan asas kukuh dan tidak membenarkan gol mudah,” kata Nicol.

Nicol menyifatkan tindakan Slot meletakkan Dominik Szoboszlai yang mengisi posisi sayap kanan dan Florian Wirtz kembali di nombor 10, sebagai faktor utama struktur pertahanan Liverpool yang lebih baik.

“Seluruh bentuk pertahanan adalah jauh lebih baik. Mereka tidak akan menjadi lebih baik jika tiba-tiba kembali kepada apa yang mereka lakukan sebelum ini dan pasukan lawan mula menembusi mereka semula,” ujarnya.

Sementara itu, Slot menjelaskan disebabkan jadual padat menyebabkan dia harus melakukan penggiliran pemain dan mengakui Salah sentiasa penting untuk Liverpool.

“Kami bermain banyak perlawanan. Dalam 10 hari kami bermain empat perlawanan.

“Pemain-pemain ini adalah pemain berkualiti. Salah penting untuk kelab dan akan terus begitu. Mari lihat apa yang berlaku pada hari menentang Sunderland,” kata Slot.

Salah, yang menjadi tonggak Liverpool musim lalu dengan 29 gol dan 18 bantuan gol, kini hanya mencatat empat gol dan dua bantuan gol daripada 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sekali gus mencetus kritikan terhadap prestasinya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN