PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel mengakui perbezaan besar dari segi fizikal dan corak permainan menjadi antara jurang besar prestasi pasukannya dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.
Pengendali dari Perancis itu berkata, pengalaman berhadapan pasukan yang lebih mantap secara fizikal membuka mata beliau dan pasukan mengenai keperluan mempertingkatkan tahap disiplin serta konsistensi dalam setiap perlawanan.
“Kami sedar tahap fizikal lawan sangat tinggi dan jelas kelihatan jurangnya dengan pasukan kami.
“Namun, pengalaman ini memberi peluang kepada pemain muda untuk belajar dan bersedia menghadapi cabaran lebih hebat pada masa depan,” katanya selepas perlawanan.
Tambah Gamel, kelemahan paling ketara ialah kekurangan disiplin ketika menghadapi situasi bola mati yang menyumbang kepada jaringan mudah lawan.
“Setiap gol yang kami bolos adalah dari situasi bola mati. Ini perlu diperbaiki segera kerana ia membunuh peluang kami untuk meraih keputusan positif,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan keseluruhan, Gamel menegaskan perkara positif yang diperoleh adalah kesepakatan mental pasukan dalam menghadapi tekanan dan cabaran getir sepanjang kempen.
Mengenai persiapan untuk saingan Liga Super yang akan datang, Gamel menekankan pentingnya mengekalkan mentaliti segar dan memperbaiki tahap pertahanan agar pasukan lebih kukuh.
“Selain itu, kami akan memberi masa rehat kepada pemain antarabangsa untuk pulih bersama keluarga. Tetapi saya juga akan tegas dalam memastikan semua pemain menghormati komitmen yang telah dipersetujui,” tegasnya.
Kekalahan tipis 0-1 dalam aksi terakhir ACL2 kepada Lion City Sailors kelmarin mengesahkan tempat Selangor di tangga tercorot kumpulan G dengan sekadar mengumpul satu mata setelah mengharungi 6 perlawanan.
Secara statistik, skuad Gergasi Merah mencatat satu keputusan seri dan 5 kali kalah dalam saingan kumpulan G ini dengan meledak 7 gol selain dibolosi sebanyak 15 kali oleh 3 kelab lain. – UTUSAN










