FAM tidak gentar risiko keputusan rayuan CAS

FAM tidak gentar risiko keputusan rayuan CAS

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali(kiri) melakukan gimik sempena majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) dan FAM di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menentukan nasib tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, persatuan sudah menyiapkan hujahan bertulis yang lengkap dan yakin segala keperluan CAS dapat dipenuhi sebelum tarikh akhir 18 Disember ini.

“Proses bersama FIFA sudah selesai dan segala usaha telah dilakukan untuk membela pihak kami.

“Kini, fokus kami adalah di CAS yang merupakan platform terakhir bagi menyelesaikan perkara ini secara adil dan bebas,” katanya selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM Specialist Centre dan FAM di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz, semalam.

Menurut Mohd. Yusoff, keputusan CAS adalah muktamad dan mesti dihormati oleh semua pihak, sama ada FAM mahupun FIFA.

“Saya percaya kita tidak akan berputus asa. Proses perundangan ini harus dijalani sampai ke penghujungnya tanpa rasa gentar akan risiko,” tambahnya.

FAM sebelum ini telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman denda CHF350,000 (RM1.8 juta) serta penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam perkembangan sama, MoU yang dimeterai antara FAM dan UKM Specialist Centre akan memperkukuh usaha menjaga kesihatan pemain melalui penilaian risiko kecederaan serta protokol kecemasan, khususnya dalam aspek kecederaan kardiovaskular dan trauma neurologi.

Keputusan akhir FIFA yang diumumkan 3 November lalu menolak rayuan FAM dan pemain terbabit, sekali gus mengekalkan hukuman sedia ada yang turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) kepada setiap pemain.

Kini, tumpuan semua terarah kepada CAS untuk menentukan masa depan bola sepak negara dalam isu yang cukup kontroversi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN