Bina budaya keselamatan psikologi di tempat kerja

Bina budaya keselamatan psikologi di tempat kerja

GOLONGAN dewasa terutama pekerja berpendapatan rendah (B40) kerap melaporkan masalah mental lebih tinggi. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU  kesihatan mental di tempat kerja semakin mendapat perhatian di Malaysia, terutamanya sejak penggubalan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) dan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) melalui kerjasama  Kementerian Kesihatan (KKM) dan  Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) pada 2023.

Walaupun pelbagai dasar dan inisiatif diperkenalkan, namun stigma terhadap kesihatan mental di tempat kerja masih menebal dan sering dipandang remeh oleh segelintir majikan dan pekerja.

Ramai pekerja enggan mendapatkan bantuan profesional walaupun mengalami tekanan, kebimbangan, kemurungan atau keletihan melampau kerana takut dilabel ‘tidak profesional’, ‘lemah’ atau ‘sengaja memberi alasan’. 

Stigma ini bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan individu tetapi juga menjejaskan produktiviti organisasi. Pekerja yang memendam masalah emosi kerap hilang fokus, motivasi merosot dan prestasi kerja menurun, seterusnya menimbulkan kerugian dari segi kos operasi mahupun sumber manusia.

Antara punca utama stigma ialah persepsi tradisional yang mengaitkan masalah mental dengan kelemahan peribadi. 

Di Malaysia, budaya kerja yang kompetitif dan berorientasikan prestasi tinggi menekankan disiplin tanpa mengira kesihatan mental. Sikap ‘kerja tetap kerja’ dan ungkapan ‘jangan bawa masalah peribadi ke pejabat’ menyebabkan pekerja menyorok masalah mereka. 

Keadaan ini lebih meruncing apabila pekerja takut peluang kenaikan pangkat, penilaian prestasi atau kepercayaan majikan terjejas. Ada yang sanggup hadir bekerja walaupun dalam keadaan emosi yang terganggu, sehingga berisiko mengalami panik berulang dan kehilangan motivasi sepenuhnya.

Kekurangan pengetahuan tentang kesihatan mental turut memperkukuh stigma. Sesetengah majikan dan pekerja masih mengaitkan masalah psikologi dengan perkataan seperti ‘gila atau ‘tidak stabil’, sehingga menimbulkan diskriminasi halus dan prejudis yang menjejaskan peluang kerjaya serta keyakinan diri pekerja. Ini sekali gus menghalang usaha membina persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan mental.

Untuk menangani masalah ini, tanggungjawab terletak pada semua pihak. Majikan perlu membina budaya keselamatan psikologi dengan menyediakan latihan empati kepada pengurus, memudahkan akses kepada kaunseling dan cuti kesihatan mental serta mengiktiraf pentingnya kesejahteraan emosi pekerja sama seperti kesejahteraan fizikal. Pekerja pula harus saling menyokong, tidak menghakimi dan berani berkongsi cabaran emosi mereka secara terbuka.

Inisiatif seperti Talian HEAL 15555 dan MyMinda melalui aplikasi MySejahtera boleh digunakan untuk saringan dan sokongan psikososial. 

Selain itu, pendidikan berterusan tentang kesihatan mental perlu diterapkan dalam setiap organisasi bagi memecahkan persepsi salah dan meningkatkan kefahaman yang isu ini adalah masalah kesihatan.

Kesimpulannya, stigma kesihatan mental di tempat kerja masih merupakan cabaran kritikal yang menjejaskan kesejahteraan individu dan produktiviti organisasi. Namun, dengan pendekatan bersepadu  melibatkan pendidikan, sokongan dan perubahan budaya kerja maka  stigma ini boleh dikurangkan. 

Apabila pekerja berasa selamat untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa takut dilabel, menjadikan tempat kerja bukan sahaja lebih produktif tetapi juga menjadi persekitaran yang menyokong kesejahteraan holistik setiap individu.-UTUSAN

 

DR. SYARIFAH MAISARAH SYED ALWI

Pensyarah Kanan, 

Fakulti Pendidikan, 

Universiti Malaya

Ahli Klinikal Psikologi Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×