Arina bawa DNA Finland ke Thailand

Arina bawa DNA Finland ke Thailand

Arina Fikri Rahman akan beraksi dalam acara papan selaju yang membuka tirai di Bangkok, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diaspora atlet negara kembali mewarnai persiapan Sukan SEA 2025 apabila peluncur papan selaju, Arina Fikri Rahman yang kini bermastautin di Finland tampil membawa aura baharu menjelang aksinya dalam acara park lelaki bermula hari.

Arina yang pulang ke tanah air dua bulan lalu mengakui kepulangan saat akhir bukan halangan untuk menyesuaikan diri menjelang temasya kali ini.

“Saya baru balik Malaysia dua bulan lepas. Jadi saya stay sini untuk berlatih dan bersedia ke Sukan SEA,” kata Arina.

Atlet berusia 34 tahun itu yang pernah menamatkan aksi di tempat keenam pada edisi 2019 di Filipina menegaskan tekadnya lebih membara pada edisi kali ini.

“Sukan SEA lepas saya akhiri cabaran nombor enam, jadi saya rasa lebih bermotivasi untuk buat lebih baik dan nak buktikan kemampuan,” katanya.

Perjalanan jauh dari Finland ke Malaysia tidak mematahkan rentaknya apabila Arina yang sudah berkeluarga di Eropah hanya berehat seketika di Singapura untuk meneruskan latihan sebelum ke Kuala Lumpur.

Katanya, penerbangan 13 jam bersama isteri dan anak kecil memaksanya transit tiga hari di Singapura bagi memanfaatkan fasiliti yang lebih lengkap sebelum kembali ke Malaysia.

Arina yang berlatih sepenuhnya secara individu di Finland sejak beberapa tahun lalu mengakui suasana lebih kompetitif di Eropah menjadikan proses persediaannya jauh lebih tersusun dan berintensiti tinggi.

Beliau bagaimanapun optimis dengan tempoh sebulan terakhir di Malaysia yang disifatkannya sebagai fasa “menyelaraskan badan” sebelum bertolak ke Thailand untuk memburu sekurang-kurangnya satu podium.

Arina menegaskan sasaran utamanya adalah prestasi terbaik dalam setiap cubaan, namun mengakui pingat menjadi misi peribadi yang mahu direalisasikannya selepas enam tahun menunggu peluang kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN