KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki negara berwaspada apabila bakal berdepan cabaran getir diundi bersama tiga pasukan Eropah dalam saingan Piala Dunia Remaja 2025 di India hujung bulan ini.
Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui cabaran menentang Belanda, England dan Austria bukan tugas mudah.
Namun beliau optimis pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental selepas melalui siri perlawanan persahabatan dan kejohanan antarabangsa sejak Mei lalu.
“Realitinya untuk muncul juara kumpulan memang sukar, tetapi sasaran kami ialah menamatkan saingan di tempat kedua dan layak ke suku akhir.
“Tetapi dengan syarat menewaskan Austria dan England,” katanya ketika sidang media pengumuman skuad remaja di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.
Beliau menambah, kelebihan fizikal dan keupayaan taktikal pasukan Eropah menjadi faktor utama yang perlu diwaspadai, sambil menegaskan anak buahnya perlu bermain secara berpasukan dan tidak terlalu bergantung kepada permainan satu lawan satu.
“Kita tak boleh lawan mereka secara terbuka. Mereka hebat dari segi ‘one to one’, hantaran dan kepantasan menukar corak permainan.
“Jadi kita kena bijak dari segi taktikal dan kurangkan kesilapan mudah,” jelasnya.
Saiful turut menegaskan, fokus utama skuad negara kini tertumpu kepada memperkemas penyudah peluang, pertahanan semasa ‘penalty corner’ serta kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan corak dan cuaca di India.
Malaysia dijangka mengharungi tiga perlawanan kumpulan menentang Austria (29 November), Belanda (30 November) dan England (2 Disember) dengan sasaran minimum mara ke suku akhir bagi memperbaiki pencapaian edisi terdahulu.
Untuk rekod, pada edisi lalu, skuad negara terpaksa akur menamatkan saingan di tempat paling corot ketika iaitu ke-12.
Malaysia bukan asing dalam saingan Piala Dunia Remaja apabila pernah menduduki tempat keempat pada tiga edisi iaitu 1979 di Versailles, Perancis, 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India. – UTUSAN










