Waspada kejutan Nepal - Cklamovski

Waspada kejutan Nepal – Cklamovski

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya tetap berwaspada dengan ancaman Nepal dalam pertembungan timbal balik kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, bagi mengimbangi cabaran lawan, anak buahnya perlu berada pada tahap terbaik bagi mengelak sebarang kejutan pasukan tercorot Kumpulan F itu.

Cklamovski juga mahu memastikan pemain negara mampu mengharungi persiapan dengan baik dan bukannya terlalu menumpukan kepada kekuatan Nepal dibawah kendalian Hari Khadka yang menggantikan Matt Ross.

“Apa juga mereka lakukan, bagaimana senarai pemain mereka dan cara pemain yang bakal diterapkan, kami sendiri kena bersedia dengan cara kami sendiri. Kami akan tentukan apa yang kami mahukan dan bagaimana kami akan bermain.

“Sekali lagi saya tegaskan, kami akan beri fokus untuk pastikan kami berada pada tahap terbaik untuk hadapi perlawanan ini,” katanya yang turut berdepan Nepal pada tugasan pertamanya dengan Harimau Malaya pada Mac lalu.

Sebelum ini, Cklamovski sudah menyatakan pendiriannya iaitu lebih berminat untuk mencari ‘penawar’ kepada kegelisahan peminat bola sepak Malaysia yang kini dipalit dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.

Sebagai individu bergelar jurulatih, Cklamovski menjelaskan skop tugasannya terhad kepada menyediakan pasukan terbaik dan meyediakan pelan tepat bagi memastikan keputusan positif mampu dicapai di atas padang.

Cklamovski tetap bercita-cita untuk menamatkan tahun ini dengan cerita lebih baik berbanding terlalu menumpukan kepada hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang dan CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM.

Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel di atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM ketika ini sedang menanti keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka memiliki 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN