LONDON: Chelsea dijangka tidak berdepan banyak masalah apabila turun menentang Qarabag FK di Baku, esok dalam misi mengukuhkan kedudukan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Walaupun kedua-dua pasukan berkongsi enam mata selepas tiga perlawanan, rekod semasa The Blues dengan enam kemenangan daripada tujuh aksi terbaharu semua kejohanan meletakkan pelawat dari London itu sebagai pilihan mutlak.
Kunjungan ke Azerbaijan itu turut mengimbau memori manis final Liga Europa 2019 apabila Chelsea membelasah Arsenal 4-1 di venue sama, sekali gus mencipta babak psikologi positif untuk anak buah Enzo Maresca.
Kemenangan 1-0 ke atas Tottenham hujung minggu lalu menjadi bukti Chelsea kembali menjadi pasukan yang lebih tersusun, selain kejayaan menundukkan Benfica dan Ajax dalam aksi Eropah sebelum ini.
Dengan pertembungan getir menentang Barcelona hujung bulan ini, tiga mata di Baku menjadi keutamaan bagi menekan pendahulu kumpulan dan mengelak jurang mata semakin melebar.
Lebih menarik, Chelsea mencetak gol pembukaan dalam lapan perlawanan berturut-turut sekaligus merupakan petanda skuad itu sedang berada pada tahap keyakinan optimum.
Namun, Maresca enggan membiarkan pasukan kendaliannya leka dibuai dengan rentak kemenangan.
“Selepas lawan Wolves dalam Piala Liga, kami terus menonton rakaman Tottenham dalam pesawat dan bas dan selepas itu Qarabag pula.
“Kami tidak boleh berhenti. Fokus kami sentiasa pada perlawanan seterusnya dan sentiasa belajar perkara baharu,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










