MIAMI: Pemain No.1 dunia dari Thailand, Jeeno Thitikul mencatat sejarah sekali lagi apabila menjuarai Kejohanan Jelajah LPGA buat kali kedua berturut-turut.
Thitikul cemerlang menewaskan rakan senegaranya, Pajaree Anannarukarn dengan kelebihan empat pukulan di Tiburon Golf Club, Naples, Florida, semalam.
Thitikul menamatkan 72 lubang dengan catatan 26 bawah par 262 selepas mencatat empat bawah par 68 pada pusingan akhir, membawa pulang hadiah wang terkumpul terbesar dalam golf wanita iaitu AS$4 juta (RM16 juta).
“Saya sangat suka padang golf ini. Bermain di sini pada kejohanan terakhir musim memberi saya suntikan tenaga yang luar biasa,” kata Thitikul.
Pencapaian Thitikul menyaingi legenda golf Korea Selatan, Ko Jin-young yang pernah memenangi kejohanan ini dua kali berturut-turut pada 2020 dan 2021.
Lebih menarik, Thitikul menunjukkan konsistensi hebat apabila empat kali menjadi naib juara dan 14 kali menamatkan dalam kelompok 10 terbaik musim ini.
Thitikul mengakui kecederaan pergelangan tangan yang dialami minggu lalu hampir menggugat peluangnya, namun semangat dan kepercayaan diri membantunya beraksi cemerlang.
“Minggu lepas saya risau tak dapat bermain, tapi saya fokus satu persatu dan akhirnya berjaya,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










