PETALING JAYA: Bola sepak negara kini berada di persimpangan getir dan memerlukan tindakan drastik bagi memastikan masa depan sukan No. 1 Malaysia itu kembali terjamin.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, dia lebih tertarik kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan proses pembangunan bakat muda dijalankan walaupun ia memakan masa.
Katanya, bola sepak di negara ini perlu di set semula meskipun proses rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) masih berjalan.
“Saya tertarik dengan perkara yang dinyatakan Perdana Menteri adalah kepentingan membangunkan bakat muda. Itu menunjukkan Perdana Menteri sedar bahawa kita perlu bangunkan bakat muda walaupun ia memakan masa yang lama.
“Jadi, mungkin selepas ini boleh disusun dengan lebih baik bakat-bakat muda untuk dibangunkan.
“Selepas itu, Perdana Menteri pun akui kita tak boleh berbuat apa-apa, kita kena biarkan FAM membela diri mereka sendiri buat masa ini dan semua orang kena hormat tindakan itu.
“Tiada cara lain selain kena ’reset’ cuma saya tak berani nak cakap lebih sebab keputusan belum ada dan kita pun baru nak bawa kes ke CAS. Memang terbaik untuk ‘reset’ FAM dan bola sepak kita,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Anwar turut menegaskan tiada sebarang cubaan bagi menutup hasil siasatan FAM berhubung pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain warisan.
Perdana Menteri turut berkata kecaman keras FIFA terhadap FAM bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, sambil mengakui ia sudah menjadi isu besar dalam negara.
Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan dan mengambil tindakan terhadap FAM dengan memecat ahli jawatankuasanya.
Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit serta mengekalkan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA.
Susulan itu, FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,500 dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. – UTUSAN










