DOHA: Oscar Piastri mengesahkan prestasinya kembali menyengat untuk terus kekal dalam perebutan gelaran apabila meraih petak utama bagi perlumbaan pecut malam ini di Grand Prix Qatar.
Pelumba Australia itu yang ketinggalan 24 mata di belakang rakan sepasukan McLaren, Lando Norris dalam kejuaraan pemandu, mencatat masa terbaik satu minit 20.055 saat untuk mengatasi George Russell dari Mercedes dengan kelebihan 0.032 saat.
Dalam sesi kelayakan pecut yang sengit, pendahulu keseluruhan Norris muncul ketiga terpantas, dua per sepuluh saat di belakang, di hadapan Fernando Alonso dari Aston Martin dan dua jentera Red Bull yang diketuai Yuki Tsunoda di tempat kelima.
Juara empat kali Max Verstappen, yang berkongsi mata dengan Piastri dalam perebutan gelaran tiga penjuru, berada di tempat keenam sambil merungut dalam jentera Red Bull dipandunya, diikuti Kimi Antonelli dari Mercedes, Carlos Sainz dari Williams, Charles Leclerc dari Ferrari dan Alex Albon dalam Williams kedua.
Bagi Piastri, ini adalah kejayaan besar selepas dua bulan bergelut dan ia memberikannya petak utama pecut Qatar yang kedua serta peluang menambah dua kemenangan pecut terdahulunya.
“Hari yang baik untuk perubahan!” kata Piastri, yang tidak memenangi perlumbaan sejak Grand Prix Belanda pada akhir Ogos.
“Segalanya menjadi sejak awal dan sesi kelayakan berjalan lancar dan saya ada cukup kelebihan pada penghujungnya.
“Saya gembira dengan keputusan itu tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan seronok bila boleh berkata begitu apabila anda bermula dari petak utama.”
Norris, yang boleh merangkul gelaran hujung minggu ini jika beliau mengatasi pungutan mata Piastri dan Verstappen sebanyak dua mata, jelas kecewa.
“Saya di sini untuk cuba menang jadi kita akan lihat apa yang boleh dilakukan sepanjang malam. Sangat sukar untuk memotong di sini jadi mungkin saya terpaksa berpuas hati di P3,” katanya.
Sesi bermula dalam keadaan lebih sejuk dengan suhu 21 darjah (udara) dan 26 darjah (litar) dengan Verstappen mencatat masa terpantas dalam segmen SQ1 di litar Lusail yang mencabar, berkelajuan tinggi dan berdownforce tinggi di utara gurun Qatar.
Lewis Hamilton dari Ferrari sekali lagi bergelut dan termasuk dalam lima pelumba terawal tersingkir, menamatkan sesi di tempat ke-18 bersama Lance Stroll dalam Aston Martin kedua, Liam Lawson dari Racing Bulls serta pasangan Alpine, Pierre Gasly dan Franco Colapinto.
Dalam musim yang digambarkannya sebagai mimpi ngeri, ini adalah satu lagi sesi hambar bagi juara tujuh kali itu yang menang di Qatar pada 2021.
“Kereta ini tak boleh pergi lebih laju,” katanya.
Dalam pada itu, Norris mendahului catatan masa dalam SQ2 ketika rookie Racing Bulls, Isack Hadjar, kehilangan pusingan terakhir kerana melebihi had trek dan jatuh ke tempat ke-11, terlepas pusingan penentuan bersama Oliver Bearman dari Haas, pasangan Sauber Gabriel Bortoleto dan Nico Hulkenberg serta Esteban Ocon dalam Haas kedua.
Pertarungan 10 terbaik bermula dengan Russell mendahului selepas menukar ke tayar lembut manakala Verstappen berang dengan keretanya.
“Kereta ini melantun macam orang bodoh,” rungutnya bersama kata-kata kesat ketika beliau terbabas.
Pada percubaan pertama mereka, Piastri mengambil sedikit kelebihan dengan catatan 1:20.241 untuk mengatasi Norris sebanyak 0.044 saat dengan Russell di tempat ketiga dan Verstappen di tempat ke-10.
Pelumba Belanda itu kemudian memperbaiki catatannya ke tempat keempat sebelum yang lain memintasnya, dengan Piastri meraih petak utama di hadapan Russell.
Norris terbabas di selekoh terakhir dan menamatkan sesi di tempat ketiga ketika Piastri menikmati kemunculan semula prestasinya. – AFP/UTUSAN










