Melaka tepati ramalan muncul juara Piala Tun Ali

Melaka tepati ramalan muncul juara Piala Tun Ali

Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersama pemain Melaka menjulang trofi selaku juara baharu Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 Edisi Ke-4 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Impian Melaka dinobatkan juara regu lelaki di Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025 edisi keempat menjadi kenyataan selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi akhir di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.

Gandingan perejam kebangsaan, Mohd. Azlan Alias bersama tekong import dari Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) mudah menewaskan Kedah dengan keputusan 17-14 dan 15-12 dalam tempoh 53 minit.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Kedah yang dibarisi tekong Amar Roslan, perejam dari Thailand, Loesak Kuram dan pengumpan Zulhusni Basri tetap memberikan tentangan sengit kepada tuan rumah.

Kedah turun selaku pasukan bukan pilihan, namun membuat kejutan mara ke akhir buat pertama kali selepas mengejutkan penyandang juara tahun lalu Kuala Lumpur 2-0 di suku akhir dan trio emas Negeri Sembilan 2-0 di separuh akhir.

Kemenangan Melaka menebus kekecewaan dalam tiga edisi kejohanan itu serta muncul naib juara pada 2022 bagi merangkul gelaran pertama selaku tuan rumah tahun ini.

Kejayaan itu membolehkan Melaka menerima RM15,000 dan trofi yang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Kedah pula selaku naib juara menerima RM10,00 dan piala manakala Negeri Sembilan dan Selangor yang tersingkir di separuh akhir masing-masing menerima RM5,000.

Melaka turut meraih dua anugerah individu iaitu Tekong Terbaik milik Pongsatorn dan Mohd. Azlan selaku Apit Kanan Terbaik manakala pemain Kedah, Zulhusni Basri sebagai Apit Kiri Terbaik menerima RM500 setiap seorang.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, beliau melahirkan rasa syukur Melaka muncul juara buat pertama kali selepas sekadar menjadi naib juara pada edisi pertama 2022.

“Kejayaan ini adalah atas usaha seluruh pemain dan pihak pengurusan bertungkus lumus sejak dari peringkat awal sebelum mara ke suku akhir, separuh akhir dan akhir serta muncul juara,” ujarnya.

Sementara itu dalam acara kuadran akhir pula Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara menewaskan Perak 2-0 melalui kemenangan 17-16 dan 15-9.

ATM menerima RM10,000 dan piala manakala Perak pula membawa pulang RM8,000 serta dua pasukan tewas di separuh akhir MSSM-KPM dan Terengganu menerima RM4,000.

Terdahulu dalam acara akhir regu wanita akhir, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mudah menewaskan Sabah 2-0 menerusi kemenangan 15-9 dan 15-9.

Kemenangan itu membolehkan PDRM menerima RM5,000 serta piala manakala Sabah mendapat RM3,000 manakala dua pasukan tewas di separuh akhir Selangor dan Perak masing-masing menerima RM1,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN