LONDON: Manchester United dijangka membuat perbelanjaan mengejut pada Januari depan bagi memastikan mereka di landasan terbaik untuk bersaing di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus mencerahkan peluang ke pentas Eropah musim depan.
Pengendalinya, Ruben Amorim juga berharap pihak pengurusan membuat pembelian selepas United bakal kehilangan dua penyerang utama iaitu Amad Diallo dan Bryan Mbeumo yang menyertai kempen Piala Negara-Negara Afrika yang berakhir pada 18 Januari.
United sudah membelanjakan 225 juta pound (RM1.27 bilion) bagi membawa masuk empat pemain pada musim panas lalu dan pengarah bola sepaknya, Jason Wilcox sebelum ini menegaskan United perlu menjual pemain untuk membuat pembelian baharu.
Permohonan pemain muda, Kobbie Mainoo untuk dipinjamkan ke kelab lain pada penghujung jendela perpindahan musim panas juga ditolak, manakala Joshua Zirkzee dikaitkan dengan kemungkinan berpindah pada musim sejuk.
Mengulas tentang Mainoo, lulusan akademi yang setakat ini hanya beraksi 138 minit sebagai pemain gantian dalam saingan liga, Amorim mengakui sukar untuk menempatkan pemain itu dalam kesebelasan utama.
“Kami perlu ke pentas Eropah. Dengan semua yang kami bina, kelab ini perlu berada di Eropah. Jadi, kami tidak boleh tercicir mata ketika Diallo dan Mbeumo tiada bersama pasukan, posisi mereka perlu diganti.
“Dengan minit permainan yang Mainoo dapat sekarang, memerlukan lebih banyak perlawanan untuk saya membuat giliran pemain. Dengan satu perlawanan seminggu, memang sukar,” kata Amorim.
Pengendali dari Portugal itu turut menjangkakan akan berlaku pergerakan pemain pada awal tahun depan, terutama menjelang Piala Dunia apabila ramai pemain mencari peluang beraksi secara tetap.
“Banyak perkara boleh berlaku, termasuk di kelab kami sendiri. Kita ada Piala Dunia, ada pemain yang kurang beraksi dan mereka mungkin mahu berpindah. Jadi saya perlu uruskan semuanya.
“Kami mahu membawa masuk pemain yang kami lihat mempunyai masa depan cerah bersama Manchester United. Kami bukan mahu beli pemain sekadar untuk mengisi kekosongan bulan Disember ini. Tidak. Kami mahu pemain yang akan kekal lama dan beri impak besar. Itu perancangan kami.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi sudah tentu kami sedang memikirkan cara untuk memperbaiki pasukan dan apabila jendela Januari dibuka, kami berpeluang untuk melakukan sesuatu,” katanya.- AGENSI/UTUSAN










