Impian emas Yiat Qing musnah

Impian emas Yiat Qing musnah

Lee Yiat Qing melakukan terjunan dalam acara 3 meter papan anjal wanita Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerjun muda wanita negara, Lee Yiat Qing terpaksa menelan kekecewaan selepas dipintas pada saat akhir dan sekadar meraih perak dengan 270.35 mata dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Yiat Qing yang mendahului selepas empat terjunan awal akhirnya tewas kepada Atlet Neutral (NAB), Nadezhda Trifonova yang memintas pada terjunan terakhir dengan 272.60 mata untuk merangkul emas.

“Saya sebenarnya berpuas hati dengan prestasi hari ini (semalam) sebab tidak sangka boleh dapat keputusan dan persembahan seperti ini.

“Pada final saya cuba tenang sebab pusingan awal tadi tidak berapa bagus, jadi kali ini saya lebih santai dan tidak terlalu stres,” kata Yiat Qing kepada pemberita sebaik acara tamat, di sini, semalam.

Juara Sukan SEA Kemboja 2023 itu berkata, walaupun kecewa terlepas emas dengan jurang amat tipis, dia tetap melihat kejohanan kali ini sebagai satu peningkatan berbanding kempen terdahulu di Kejohanan Dunia Akuatik di Singapura pada Ogos.

Gangsa milik Ziyi Wang dari Hong Kong yang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan kutipan 228.75 mata.

Dalam pada itu, saingan 10m platform seirama lelaki menyaksikan pasangan negara, Enrique Maccartney Harold-Elvis Priestley Clement menghadiahkan emas pertama skuad negara selepas mengumpul 372.93 mata.

Mereka mengatasi rakan senegara Bertrand Rhodict Lises–Jared Aiden Harold yang meraih perak dengan 371.91 mata, manakala pasangan NAB, Aleksandr Kalashnikov–Sandro Rogava menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 357.90 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN