PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu melakar kemenangan besar ke atas Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 18 November ini.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, kemenangan besar itu penting bagi membina momentum sebelum Malaysia menutup aksi kelayakan berdepan Vietnam pada Mac tahun depan.
Beliau berkata, isu membabitkan tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu diketepikan buat seketika kerana keputusan rayuan juga belum diketahui.
“Sekarang apa yang penting kita kena menang semua aksi kelayakan, berdepan Nepal kita kena menang untuk bina momentum dalam aksi yang boleh dikatakan menjadi penentu ketika berdepan Vietnam.
“Potong mata atau tidak, itu kita tidak perlu fikir lagi, yang penting maruah kita atas padang diutamakan. saya fikir, kalau kita menang besar (lawan Nepal) lagi bagus, pemain akan tambah bersemangat nanti.
“Kita juga dalam mood yang baik selepas menang dalam dua pertemuan dengan Laos. Jadi, harapan saya, jurulatih (Peter Cklamovski) dapat bentuk pasukan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, Malaysia memimpin carta kelayakan Kumpulan F dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan, diikuti pencabar terdekat Vietnam dengan Sembilan mata, manakala Laos dan Nepal di tempat ketiga dan keempat.
Bagaimanapun, segala kemungkinan boleh terjadi ketika ini dengan Malaysia berdepan risiko pemotongan mata selepas didakwa menurunkan pemain tidak sah ketika berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat rayuan berhubung hukuman terhadap tujuh pemain warisan terbabit dan kini seluruh peminat bola sepak tempatan sedang menunggu keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, barisan pemain ketika menang dua kali ke atas Laos sebelum ini dilihat sudah cukup baik dan wajar dikekalkan untuk aksi berdepan Nepal.
“Sekarang Faisal Halim cukup berbisa dan menemui rentaknya semula. Tidak kira ketika mewakili skuad kebangsaan atau kelab (Selangor FC), dia memberikan segala yang dia ada.
“Masa (Selangor) lawan Sabah FC dalam aksi Liga Super, Faisal juga ‘meletup’ apabila meledak gol kemenangan. Semangat dia tinggi sekarang, jadi kita mahu lihat semanagt itu dalam skuad kebangsaan,” katanya. – UTUSAN










