LONDON: Pengurus Tottenham, Thomas Frank melaungkan amaran bahawa pasukannya akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), hari ini.
Frank berkata, dia tahu pasukannya tidak akan memperoleh kemenangan dengan mudah dan disebabkan itu mereka akan lakukan sedaya yang mungkin untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri.
“Ya, sudah tentu. Saya berjanji kepada anda, kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk memberikan yang terbaik, dan kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk bermula dengan garang, positif, bertenaga, bersemangat, menyerang.
“Tetapi saya juga agak pasti bahawa Fulham akan lakukan segala yang mereka mampu untuk mengelakkannya. Tugas kami adalah memastikan kami beraksi dengan baik.
“Jika kami beraksi dengan baik, kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi perlawanan itu,” katanya.
Keazaman itu disuarakan Frank selepas menyaksikan pasukannya terpaksa akur dengan keputusan tewas 5-3 kepada Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara, Khamis lalu.
Ditanya mengenai keadaan pemainnya, Frank berkata mereka sudah melupakan kekalahan tersebut malah tidak sabar untuk beraksi menentang Fulham.
“Bagi saya, kami melihat ke hadapan. Bagi saya, ia tentang mengambil perkara positif daripada perlawanan menentang PSG, dan memang banyak perkara positif dalam perlawanan itu.
“Belajar daripada kesilapan yang kami lakukan dan kemudian bawa semua itu ke perlawanan hari ini menentang Fulham,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










