Badminton raih pingat pertama Deaflympics

Badminton raih pingat pertama Deaflympics

Edmund Teo-Boon Wei Ying menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Sukan Deaflympics 2025 di Keio Arena Tokyo, semalam. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Malaysia akhirnya membuka akaun pingat pada Deaflympics 2025 apabila beregu badminton campuran negara, Edmund Teo-Boon Wei Ying menghadiahkan gangsa pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Keio Arena Tokyo, semalam.

Pilihan keempat kejohanan itu menewaskan pasangan India yang juga juara edisi 2021 di Brazil, Abhinav Sharma-Jerlin Jayaratchagan menerusi kemenangan straight set 21-13, 23-21 dalam masa 39 minit.

Kejayaan itu bukan sahaja menamatkan kemarau pingat kontinjen negara tetapi turut melunaskan dendam mereka selepas terlepas emas kepada pasangan sama pada final Deaflympics 2021.

“Kami sudah all out hari ini dan walaupun gagal ke final, kami tetap percaya boleh dapatkan sesuatu untuk Malaysia kerana itu matlamat kami sejak awal.

“Saya sangat bersyukur walaupun tidak meraih emas tetapi pingat gangsa ini cukup bermakna kerana ia hadiah pertama untuk Malaysia di Tokyo,” kata Wei Ying.

Beregu negara dilihat cukup beremosi di penghujung perlawanan dengan keazaman tinggi memastikan mata penting tidak terlepas pada detik getir.

Edmund-Wei Ying yang tersingkir di separuh akhir semalam bangkit mempamerkan semangat juang luar biasa bagi memastikan pasukan badminton tidak pulang dengan tangan kosong.

Dalam pada itu, kemenangan tersebut turut meredakan sedikit kekecewaan kontinjen negara yang masih mengejar kilauan emas pertama di temasya ini.

Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat termasuk satu emas dalam usaha memperbaiki pencapaian edisi terdahulu.

Fokus kini beralih kepada acara boling berpasukan lelaki pada Ahad ini yang masih menjadi sandaran terbaik untuk menghidupkan impian emas Malaysia di Tokyo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN