PETALING JAYA: Atlet silat negara, Nur Syafiqah Hamzah dan Muhammad Khairul Shaddad Ardi mempamerkan aksi cemerlang apabila masing-masing berjaya membawa pulang pingat emas dan perak pada Kejohanan Pencak Silat Asia Tenggara 2025 di Hat Yai, Thailand.
Dalam saingan Tunggal Puteri, Syafiqah terus membuktikan keunggulannya di pentas serantau apabila mengekalkan prestasi konsisten untuk menghadiahkan Malaysia pingat emas, mengatasi pesaing utama dari Vietnam, Thi My Dung yang meraih perak, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Thailand dan Myanmar.
Sementara itu, Khairul tidak kurang hebatnya apabila menghadiahkan pingat perak dalam acara Tunggal Putera, hanya dipisahkan dengan perbezaan markah tipis daripada wakil tuan rumah, Ilyas Sadara yang meraih emas.
Sementara itu, pingat gangsa pula dimenangi atlet Filipina dan Brunei.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Gulbal Shah berkata, kejayaan itu membuktikan persiapan atlet negara berada di landasan tepat menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand, pada Disember ini.
“Alhamdulillah, kerana bukan mudah untuk mereka capai pingat dalam kejohanan ini memandangkan semua atlet Sukan SEA turut mengambil bahagian.
“Syafiqah mengekalkan momentum selepas memenangi emas di Sukan Asia baru-baru ini, manakala Khairul juga menunjukkan peningkatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Bibi Aishah, kejohanan di Hat Yai itu menjadi medan terakhir buat skuad silat kebangsaan sebelum memasuki fasa latihan akhir di Cameron Highlands sebagai persiapan ke temasya Sukan SEA di Bangkok.
“Selepas ini tiada lagi kejohanan, hanya latihan fasa terakhir di Cameron Highlands untuk persiapan akhir,” katanya sambil memaklumkan sasaran rasmi skuad silat negara akan diumumkan oleh Presiden Pesaka dalam masa terdekat.
Beliau turut berharap momentum kejayaan di Thailand menjadi pemangkin semangat kepada skuad negara untuk menggandakan usaha memburu pingat emas di pentas Sukan SEA nanti. – UTUSAN










