Rob Friend nafi terlibat isu dokumentasi pemain warisan

Rob Friend nafi terlibat isu dokumentasi pemain warisan

Rob Friend
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam urusan dokumentasi atau pendaftaran pemain-pemain warisan yang kini sedang disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Friend, tanggungjawab pasukan kebangsaan hanya tertumpu kepada aspek teknikal, strategi dan prestasi pasukan, manakala hal-hal berkaitan dokumen dan pendaftaran rasmi dikendalikan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pihak berkaitan termasuk kerajaan.

“Kami tidak terlibat langsung dalam mana-mana proses dokumentasi. Fokus kami adalah terhadap persiapan pasukan, prestasi pemain dan perancangan taktikal bersama ketua jurulatih.

“Apa yang kami lakukan hanyalah mendapatkan maklumat daripada FAM mengenai senarai pemain yang sedang melalui proses naturalisasi,” katanya dalam sidang media khas FAM, semalam.

Jelas beliau, peranan skuad kebangsaan dalam isu pemain warisan hanya bermula selepas proses dokumentasi selesai dan menerima kelulusan rasmi daripada FIFA.

“Selepas pendaftaran disahkan dan FIFA mengeluarkan dokumen kelulusan, barulah pasukan kebangsaan menerima notis rasmi dan kami boleh menilai pemain terbabit untuk disenaraikan dalam skuad,” ujarnya.

Friend menegaskan, sebelum pemain mendapat kelulusan penuh daripada FIFA, tiada sebarang perancangan taktikal atau pemilihan dilakukan terhadap mereka, memandangkan status kelayakan masih belum disahkan.

“Adalah mustahil untuk kami merancang penggunaan pemain tersebut tanpa pengesahan rasmi. Kami hanya akan bertindak selepas menerima lampu hijau daripada FIFA,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya hanya mula terlibat secara langsung dalam isu ini selepas FIFA membuka kertas siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan pada 22 Ogos lalu.

Katanya, siasatan tersebut memberi kesan langsung kepada pasukan kebangsaan kerana melibatkan pemain yang telah mewakili Malaysia dalam beberapa perlawanan rasmi.

“Sebaik sahaja kes ini dimulakan, saya terus mengambil langkah untuk melindungi kepentingan pasukan dan para pemain. Mereka adalah individu yang telah berjuang demi negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Friend, tanggungjawab utamanya adalah memastikan integriti dan reputasi pasukan kebangsaan kekal terpelihara, di samping memberikan perlindungan sewajarnya kepada pemain-pemain yang terkesan.

“Saya perlu memastikan pasukan berada dalam keadaan stabil dan fokus terhadap tugasan seterusnya, sementara siasatan dijalankan oleh badan bebas,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut memuji semangat pemain-pemain kacukan yang menunjukkan komitmen tinggi walaupun berdepan tekanan susulan pendedahan kes tersebut.

“Mereka tetap berlatih bersungguh-sungguh dan kekal profesional. Ini menunjukkan semangat mereka untuk terus menyumbang kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Isu ini mula menjadi perhatian selepas FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, selain menggantung tujuh pemain kacukan Harimau Malaya selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Antara yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel.

FIFA dalam laporannya bertarikh 6 Oktober lalu menjelaskan bahawa tindakan itu diambil selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen pendaftaran asal pemain, yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Tegas Friend, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan FAM dan FIFA bagi memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan telus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×