MADRID: Jaringan Jude Bellingham membantu Real Madrid mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Juventus 1-0, semalam.
Pasukan gergasi Sepanyol bimbingan Xabi Alonso mendominasi sebahagian besar permainan, namun gagal menambah jaringan selepas pemain antarabangsa England itu menyudahkan peluang pada separuh masa kedua.
Juventus, yang kini tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, telah memberi segalanya namun gagal mencari gol penyamaan di Stadium Santiago Bernabeu.
Kemenangan Madrid itu menjadi persiapan sempurna menjelang El Clasico menentang Barcelona pada Ahad ini dalam saingan La Liga, dan meletakkan mereka antara lima pasukan memenangi tiga perlawanan pembukaan peringkat liga, termasuk juara bertahan Paris Saint-Germain.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ia perlawanan sukar dengan peluang di kedua-dua pihak dan kami terpaksa berhempas-pulas untuk menang, tetapi ini kemenangan penting menentang pasukan besar.
“Mereka ialah Juventus bukan pasukan kecil. Apabila mereka bertahan dengan 11 pemain dan cuba menyerang balas, bukan mudah untuk berdepan mereka,” kata penjaga gol Real, Thibaut Courtois selepas membuat penampilan ke-300 untuk kelab itu.
Sementara itu, pengurus Juventus, Igor Tudor mengakui pasukannya tidak beraksi teruk sebaliknya sentuhan penyudah mengecewakan mereka.
Juventus kini masih belum menang dalam tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.
“Kami ada kekuatan dan kelemahan, tetapi kami mesti terus mempercayai pasukan ini kerana kami berada di landasan yang betul.
“Kami bermain dengan semangat dan tenaga, tetapi selepas banyak berlari, ketajaman kami berkurangan. Ramai pemain belum biasa bermain pada tahap setinggi ini,”kata Tudor. – AGENSI/UTUSAN










