PETALING JAYA: Kejohanan Memanah Asia di Dhaka, Bangladesh pada awal November ini bakal menjadi pentas terakhir buat skuad memanah negara menguji kekuatan sebenar menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.
Pengurus pasukan, Suhardi Abdullah berkata, kejohanan tersebut akan menjadi medan penilaian penting terhadap kombinasi baharu pasukan, yang menggabungkan atlet senior dan muka baharu dalam usaha membentuk skuad paling mantap menjelang temasya dwitahunan itu.
“Kejohanan Asia ni kita jadikan sebagai platform terakhir sebelum ke Sukan SEA. Fokus utama kita adalah melihat bagaimana kombinasi antara atlet senior dan junior boleh beraksi sebagai satu pasukan.
“Kita nak tengok komitmen, interaksi dan konsistensi prestasi mereka dalam setiap tembakan,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan kali ini turut disertai skuad lelaki dan wanita dalam dua kategori iaitu recurve dan compound dengan sasaran utama adalah memperkukuh persefahaman serta mengekalkan prestasi terbaik di lapangan.
Menurut Suhardi, meskipun tiada sasaran pingat khusus ditetapkan bagi kejohanan di Dhaka, pencapaian atlet akan dijadikan kayu ukur tahap kesiapsiagaan mereka menjelang Sukan SEA.
“Kita tahu kejohanan di peringkat Asia ini disertai kuasa besar seperti Jepun, Korea dan China.
“Jadi, matlamat kita bukan semata-mata menang, tapi untuk pastikan atlet kita kekal konsisten dan mampu menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik individu,” ujarnya.
Mengulas peluang di Bangkok nanti, Suhardi menegaskan bahawa pintu kejayaan terbuka luas buat semua atlet, namun mengakui kategori compound dilihat memiliki kelebihan untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara.
“Peluang memang terbuka. Sama ada individu, pasukan mahupun mixed team, semuanya berpotensi untuk raih pingat.
“Tapi kalau ikut prestasi semasa, compound men team dan mixed team ada peluang cerah untuk emas,” katanya. – UTUSAN
Skuad memanah negara kini giat menjalani latihan fasa akhir di Nilai sebelum berlepas ke Dhaka pada awal November, dengan misi membawa pulang momentum terbaik menuju pentas Sukan SEA di Bangkok hujung tahun ini. – UTUSAN










