PETALING JAYA: Sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 17 Oktober lalu, Datuk Noor Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung penyiaran gambar melibatkan Noor Azman bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
“Untuk makluman, gambar tersebut dirakamkan di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA dan kehadiran Noor Azman atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM.
“FAM ingin menegaskan bahawa sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Oktober 2025, Noor Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM.
“FAM berharap penjelasan ini dapat memperjelas kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan berkenaan,” katanya bagi mengulas mengenai gambar tular membabitkan kehadiran Noor Azman dalam majlis bersama Infantino.
Infantino berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 2025, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober lalu.
Noor Azman digantung tugas pada 17 Oktober lalu selepas susulan kontroversi dakwaan pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada FIFA bagi membolehkan tujuh pemain warisan mewakili skuad kebangsaan.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain yang dilakukan oleh kakitangannya.
Bagaimanapun, FIFA dalam laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ menjelaskan, hukuman dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan kes pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – UTUSAN










