PETALING JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersependapat dengan kesimpulan laporan siasatan pihaknya bahawa sijil-sijil kelahiran asal susur galur tujuh pemain warisan negara menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumentasi yang dikemukakan.
Laporan keputusan Jawatankuasa Disiplin FIFA setebal 19 muka surat yang didedahkan semalam mendakwa, kenyataan penting Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri amat relevan.
“JPN mengesahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil-sijil kelahiran asal. Sebaliknya, JPN mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen asing dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.
“JPN turut mengakui bahawa ia tidak dapat mengakses rekod bertulis asal dan oleh itu mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan bukti bahawa suatu kelahiran telah berlaku,” kata laporan tersebut.
Pengakuan tersebut, menurut jawatankuasa itu, menunjukkan bahawa proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal yang menimbulkan keraguan terhadap ketelusan proses verifikasi yang dijalankan oleh FAM.
Justeru, jawatankuasa itu mendakwa, berdasarkan elemen-elemen berkenaan, mereka berpuas hati sepenuhnya bahawa sijil-sijil kelahiran yang dikemukakan oleh responden dalam prosiding FIFA bagi semua pemain terbabit telah dipalsukan dan/atau diubah dalam erti ia telah diedit untuk mengubah tempat lahir yang tercatat di dalamnya.
Dalam keputusan bertulis itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Tujuh pemain terbabit, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano dilahirkan di luar Malaysia.
Susulan itu, FIFA menjatuhkan hukuman berat dengan mendenda FAM CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
“Tindakan ini bukan sekadar hukuman, tetapi mesej jelas bahawa bola sepak mesti kekal bersih, adil dan telus,” tambah FIFA. – UTUSAN










